Maswings Akan luncurkan BIMP-EAGA ke Brunei dan Kalimantan, Indonesia


Malaysia – Berita21: MASwings, syarikat penerbangan yang memberi perkhidmatan di Sabah dan Sarawak, menjangka akan dapat memulakan fasa pertama operasi BIMP-EAGA ke Brunei dan Kalimantan, Indonesia, awal tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang berkata, penglibatan syarikat ke destinasi antarabangsa, menjadi satu lagi peristiwa penting sya­rikat penerbangan itu.

Ia membuka jalan untuk lebih ramai pengunjung ke Sabah dan Sarawak di samping meningkatkan ketibaan pelancong dan peluang perniagaan.

“Diharapkan, dalam masa beberapa hari akan datang, kami akan mendapat kelulusan dinanti sekian lama untuk beroperasi dalam BIMP-EAGA.

“Ini akan menjadi sinar baru bagi MASwings, dan kami berharap untuk memulakan fasa pertama operasi BIMP-EAGA menjelang awal tahun hadapan,” kata Mohd Nawawi dalam satu majlis makan malam ulang tahun keempat MASwings di Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun menghadiri majlis itu bagi pihak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

BIMP-EAGA telah dilancarkan pada 1994 sebagai inisiatif kerjasama oleh Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina, yang kesemua negara itu merupakan negara anggota Asean.

Dalam satu kenyataan selepas tamat mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA di Cagayan De Oro, Filipina baru-baru ini, keempat-empat negara bersetuju membincangkan cara-cara untuk meningkatkan hubu-ngan udara di rantau ini.

Ini termasuk inisiatif untuk mengembangkan Memorandum Persefahaman bagi peningkatan hubu-ngan udara dengan tambahan destinasi yang mungkin di luar operasi kerjasama BIMP-EAGA.

Mengenai prestasi MASwings setakat ini, Mohd Nawawi berkata, syarikat mencatatkan banyak pencapaian luar biasa, terutama dari segi bilangan penumpang.

Beliau berkata, terdapat peningkatan ketara dalam penumpang dari 45,000 sebulan pada 2007 hingga 130,000 sebulan tahun ini, yang mewakili peningkatan tiga kali ganda atau bersamaan dengan 300 peratus.

“Prestasi tepat masa (OTP) kami sekarang ini adalah 94 peratus, yang terbaik bagi masa prestasi yang pernah dicatatkan, lebih tinggi daripada mana-mana syarikat penerbangan lain yang beroperasi di negara ini.

“MASwings yang bermula dengan hanya 450 penerbangan seminggu pada 2007 dan kini operasinya meningkat lebih 110 peratus dengan 940 penerbangan,” katanya.

Hatta Sanie/Berita21 Malaysia
Iklan