Sajian Makanan Laut Di Permas Jaya, Johor Bahru, Malaysia


KAMPUNG Senibong di Permas Jaya, Johor Bahru memang dikenal oleh kalangan penggemar makanan laut, baik oleh penduduk setempat maupun dari luar Johor. Bagi pengunjung luar terutama yang pertama kali ke Johor, kehadiran anda seakan-akan tidak lengkap jika tidak dibawa menjamu selera di situ.

Dengan pelbagai pilihan restoran serta seleksi spesies hidupan laut antaranya ketam bangkang, siput gong-gong, udang, udang kara dan ikan yang dimasak enak pasti membuat siapa-siapa kecur air liur.

Tambahan pula, para pengunjung dapat menjamu selera dengan berlatar belakangkan laut dan curahan cahaya lampu pada waktu malam dari negara jiran, Singapura.

Antara restoran yang terkenal di kawasan berkenaan ialah Selera Senibong Seafood atau lebih dikenali sebagai SSS yang diusahakan dua beradik, Mohd. Fauzi Saadon, 44, dan adiknya, Hasbullah, 41.

Sumber segar

Kedua-dua mereka telah mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu malah, saiz restoran SSS telah dibesarkan dua tahun lepas untuk memberi keselesaan kepada para pelanggan.

Hasbullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah memberitahu, keistimewaan restorannya kerana sumber bahan mentah iaitu makanan laut diperoleh segar daripada pembekal.

Bahkan, ujarnya menu-menu yang dihidangkan merupakan menu asli yang dipelajari daripada kenalan yang mahir dengan masakan laut dan Thailand selain daripada buku masakan.

“Dari situ, maka hasilnya kami dapat mencipta menu sendiri. Bahkan, bagi memastikan rasa serta mutunya sentiasa konsisten, kesemua bahan termasuk perencah kami sediakan sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Pak Lah, antara hidangan yang cukup popular dan menjadi tarikan utama pengunjung di situ termasuklah ikan kukus limau, ikan tiga rasa, kupang berlada, udang kara, ketam atau gong-gong lada hitam dan sotong berlada.

Jelas Pak Lah, ikan kukus limau merupakan antara menu yang dicipta dan diubah suai sendiri hinggakan ia mempunyai rasa yang tersendiri dan mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, salah satu lagi kelebihan dan keistimewaan restoran itu ia terletak betul-betul di persisiran pantai yang menghadap Singapura iaitu di kawasan Senokor dan Sembawang.

Tambah Pak Lah, suasana itu membolehkan para pengunjung menikmati juadah sambil melihat panorama di sekelilingnya terutama pada waktu malam.

Sementara itu mengimbau kembali kejayaan mereka berdua mengusahakan restoran tersebut, kata Mohd. Fauzi kepayahan yang dilalui semasa merantau dari tanah kelahirannya di Pokok Sena, Kedah ke bandar raya itu pada tahun 1987 banyak mengajarnya.

Pernah jual kuetiaw

Kata Mohd. Fauzi, pada peringkat awal tiba di bandar raya tersebut dia telah mengusahakan jualan kuetiaw kerang menerusi kereta tolak di satu kawasan di Permas Jaya selama empat tahun. Kuetiaw itu dijual pada harga RM1.20 sen sepinggan.

“Keuntungan yang diperoleh dari jualan tersebut, saya bersama adik (Hasbullah) berpakat untuk mengusahakan restoran di Senibong dengan modal permulaan kira-kira RM40,000. Kalau peringkat permulaan kami hanya mampu menampung kira-kira 200 pelanggan dalam satu-satu masa, tetapi kini selepas diubah suai sejak dua tahun lalu restoran ini mampu menampung kira-kira 500 pelanggan,” katanya.

Mohd. Fauzi berkata, antara hari yang paling ramai pengunjung ialah pada hujung minggu (Sabtu -Red), musim cuti perayaan dan cuti sekolah dengan pengunjung termasuk dari negara jiran Singapura.

Mengenai harga makanan, Mohd. Fauzi berkata, ia masih di paras berpatutan dan masih mampu dinikmati mereka yang berpendapatan sederhana.

“Adalah menjadi kepuasan bagi kami apabila orang berpendapatan sederhana dapat menikmati juadah yang kami tawarkan malah, kami turut membuat jamuan amal untuk masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Senibong apabila ada aktiviti di kedua-dua institusi tersebut,” katanya yang turut memberitahu restoran itu kerap dikunjungi orang kenamaan.

Hatta Sanie/Topkuliner Malaysia
Iklan