Kebakaran Hebat di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu, Malaysia


KOTA KINABALU – Malaysia: Seramai 1,011 orang daripada 159 keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru, Tanjung Aru dekat sini, kini tinggal sehelai sepinggang apabila 129 rumah dihuni mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Rumah papan yang dibina secara rapat antara satu sama lain pada pertengahan 1950  itu musnah dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Kebakaran yang dipercayai bermula dari salah sebuah rumah pada jam 2.20 pagi , akibat litar pintas dan api marak terlalu pantas sebelum menyambar rumah berhampiran lain sehingga menyebabkan keseluruhan rumah di kawasan itu ranap sama sekali.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketika kejadian kebanyakan mangsa nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan pekikan penghuni yang meminta semua mangsa segera menyelamatkan diri.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mereka menerima panggilan kecemasan jam 2.25 pagi dan menghantar lima jentera bersama dua pegawai serta 28 anggota ke tempat kejadian.

“Anggota bomba terpaksa menyedut air laut untuk memadamkan kebakaran. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.15 pagi. Punca kebakaran masih disiasat,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Aru Baru, Matsah Sahat, 60, mendakwa kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan tetapi ada juga pendatang tanpa izin yang dipercayai menyewa rumah daripada penduduk tempatan.

Beliau mendakwa kebanyakan rumah itu mendapat bekalan elektrik melalui penyambungan haram daripada rumah penghuni yang lain.

“Akibat penyambungan elektris secara haram, api amat mudah merebak ke rumah lain. Keadaan ini diburukkan lagi dengan keadaan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah, berkata beliau sedih dengan kejadian berkenaan kerana ia bukan setakat menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal, malah harta benda, termasuk lima kereta.

“Agensi pemerintah, terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa yang terpaksa menumpang di dewan masyarakat dan rumah saudara mara.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada sesiapa cedera atau maut dalam kejadian itu,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan untuk dihulurkan kepada mangsa.

Hatta Sanie/B21 Malaysia