Artis Zaid Alamak Perankan 2 Watak Berbeda


PELAKON serba boleh Zaid Zahari atau lebih popular dengan panggilan Zaid Alamak, melahirkan perasaan teruja kerana terpilih memegang dua watak.

Zaid yang sebelum ini muncul dalam filem Hantu Air, mendapat kepercayaan sutradara Ghaz Abu Bakar, sebagai sami India dan pelumba motor dalam filem aksi komedi terbaru terbitan KRU Film, King Kapcai Kuang.

Penggambaran filem yang diadakan Jun lalu di beberapa lokasi, antaranya di KL dan Kluang, Johor.

“Saya amat terharu dan teruja kerana mendapat peluang memikul dua peranan dalam filem ini.

“Apatah lagi dapat menimba pengalaman dari pelakon sudah popular seperti Zizan, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Neelofa, Pak Ya Alamak dan ramai lagi,” kata Zaid yang baru pulang dari Eropah selepas menyertai kursus ringkas, cara bergusti di kelab seni pertahankan diri di Warsaw, Poland.

Sementara itu, Zaid menyifatkan cara pengarahan sutradara Ghaz Abu Bakar, sangat teliti dan kreatif, walaupun inilah kali pertama beliau mengarah filem.

Ghaz sebelum ini pernah mengarah beberapa telemovie termasuklah Kulaifornia yang disiarkan semasa Aidil Fitri lalu di saluran Astro Ria selain mengarah muzik video penyanyi Alya.

King Kapcai Kuang, mengisahkan Fizz Fairuz dapat melihat roh abangnya, lakonan Zizan yang ingin kembali kerana mahu memperbetulkan keadaan.

Antaranya, mahu ingin melihat musuhnya, Tiger lakonan Remy Ishak kalah di perlumbaan motor.

“Adegan yang menarik ialah perlumbaan motor di mana saya, Pak Ya Alamak, Remy Ishak, beberapa mat rempit bertarung .

“Terdapat beberapa aksi lasak, beberapa pelumba tergelincir lalu tercampak ke bawah lereng bukit, jatuh dalam longkang besar dan pelumba terlanggar tandas kampung berdinding kayu,” kata Zaid.

Selain itu, Zaid yang turut berlakon dalam telemovie Chikaro, juga terbitan KRU Film, arahan Nizam Zakaria, pengarah filem Cinta Kura Kura sebagai wartawan dan telemovie untuk siaran RTM berjudul Benci Tapi Cinta.

“Saya harap 2012 akan mendapat lebih banyak peluang berlakon filem dan drama TV. Selain itu, saya sudah bersedia melakonkan watak yang lebih serius,” kata Zaid yang kini merancang memulakan penggambaran Alamak The Movie, dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, pengarah telemovie romantik komedi, Benci Tapi Cinta ini yang juga penulis skrip telemovie ini, Erhan Baharuddin, yakin pemilihan Ako Mustapha, Kathy Azean, Datuk Jalaludin Hassan, Elly Mazlein, Atie AF dan ramai pelakon pembantu sebagai nadi kekuatan telemovie ini.

Erhan adalah pemenang Anugerah Skrin 2011 bagi kategori untuk adaptasi skrip filem terbaik berjudul Saya Tak Bodoh.

Antara lokasi penggambaran telemovie Benci Tapi Cinta terbitan Layar Kaca Filem ialah di sekitar KL dan beberapa tempat di Selangor seperti Greenwood dan Gombak.

ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21 Malaysia

One thought on “Artis Zaid Alamak Perankan 2 Watak Berbeda

Komentar ditutup.