Emma Rocker Kembali Ke Pentas Hiburan


Emma Rocker, penyanyi rock wanita yang pernah mencipta nama menerusi lagu Bayangan Misteri pada era 90-an ketika bersama kumpulan Revolusi dulu. Emma atau nama sebenarnya, Rahimah Sukor kini muncul kembali setelah hampir dua tahun menghilang diri.

Emma yakin kemunculan semulanya dengan imej baru mendapat sokongan peminat tegar muzik rock tanah air seperti kehadirannya dulu di pentas hiburan.

Kali terakhir Emma beraksi di pentas seni pada 2009 bersama lagu Cabaran yang mendapat sambutan pendengar.

Kini, selepas dua tahun tidak merakamkan lagu Emma sangat rindu untuk menyanyi semula. Hasrat itu belum dapat dicapai kerana ketiadaan lagu yang benar-benar sesuai dengan citarasanya.

Namun, awal tahun ini Emma melangkah penuh berani merakamkan lagu Dunia Cinta hasil sentuhan lirik Zell dari Music Balada.

Emma percaya Dunia Cinta tidak cukup mantap tanpa berduet dengan rakan seperjuangannya, Mus May yang juga pencipta lagu ini.

“Alhamudulillah, akhirnya Emma kembali semula di persada seni suara.

“Memang Emma akui rindu beraksi di pentas. Disebabkan tiada lagu baru, terpaksalah Emma menghilangkan diri buat sementara waktu.

“Emma banyak buat kerja di belakang  tabir, kendalikan artis dari Singapura dan  Brunei Darussalam,” katanya yang kini pengarah urusan Impact Music & Entertainment.

Selain menjadi ajen artis yang mahu mengadakan konsert dan karnival di sekitar Johor, Emma juga mengadakan kelas motivasi dan bimbingan kepada bakat baru seni suara.

Emma yang kini bahagia  bersama jejaka pilihan dari Singapura, Sazalie Hj Mawasie, anak saudara seniman Datuk  Aziz Satar berharap peminat yang mahu mendengarkan lagu Dunia Cinta boleh memuat-turun lagu itu dari Internet.

Sehingga kini Emma pernah merakam dua album solo ketika bersama Warner Music dan beberapa lagu duet dalam album kompilasi seperti lagu Cinta Alam Fantasi (Emma Feat Abot).

Terbaru, Emma turut menjayakan  Karnival Xpozar Lifestyle Expo 2011 yang akan diadakan di Danga Expo Hall City, Johor Bahru bermula 23 Disember ini sempena Krismas selama tiga hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ramai penyanyi popular akan mengadakan persembahan sepanjang  Karnival Xpozar ini, antaranya  Nizam Laksamana, Amir Ukays, Gimie Screen, Ringgo Arrow, Azan Scan dan Ratu Dangdut,  Zaleha Hamid serta pelawak seperti Rahim R2, Achad, Man dan Azrul.

Maklumat lanjut mengenai Karnival Xpozar boleh diperolehi melalui emel kepada emma@ezsmusic.com & ezs.emma@gmail.com atau menghubungi beliau, menerusi 017-6453244.