Erin Malek ‘Ya, saya nakal!’


PELAKON remaja, Erin Malek atau nama sebenarnya, Nur’Arina  Abd Malek, 17, mengaku sering bersikap nakal dalam pergaulan seharian.

Namun kini dia sudah serik dan mahu menyambut kedatangan 2012 dengan tekad mahu ubah perangai serta memberi tumpuan kepada keluarga, pelajaran dan karier lakonan.

Sebelum ini pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi,  namun sempena tahun baru nanti dia berazam tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan isu.

Erin pernah mencetuskan bualan hangat peminat apabila mengaku bertindik lidah ketika muncul dalam program Galaksi TV9.

“Saya mengaku apa yang saya buat itu memang salah. Ia memalukan diri sendiri dan nama baik keluarga, tetapi sebagai remaja saya mempunyai perasaan ingin tahu.

“Apabila isu itun jadi kontroversi saya sangat tidak selesa. Sebagai remaja saya mengakui  sukar mengawal keadaan, apatah lagi berhadapan dengan masalah.

“Akibat isu itu saya terpaksa memerap di rumah,” katanya.

Bakal muncul dalam drama Aishiteru  di TV9, Erin berharap dapat berubah dari bersikap nakal kepada lebih matang.

“Saya tidak mahu lagi dilabelkan remaja bermasalah. Saya tak mahu buat perkara yang akan menjejaskan imej saya.

“Ya, saya akui mungkin tindakan dulu satu kesilapan kerana terlalu mengikut rakan-rakan dan meniru-niru gaya artis luar,” katanya yang muncul dalam drama TV Klik, musim kedua ini.

Erin yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, dia akan menumpukan perhatian kepada kerier lakonan sepenuhnya tahun depan.

“Saya berehat sepanjang tahun ini dan menolak banyak tawaran berlakon kerana ingin menumpukan perhatian pada pelajaran.

“Selepas habis kertas terakhir minggu depan, saya ingin fokus pada kerjaya pula,” kata hos rancangan TVIQ dan Apa Cerita.

Pembabitan awal Erin bermula sebagai pelakon pada 2006 menerusi filem Bilut.

Rezekinya semakin murah apabila diberi peluang muncul dalam filem kedua,  Tentang Bulan, diikuti filem BS21, Congkak dan terbaru filem Senjakala arahan Ahmad Idham.

Mengenai perancangan masa depan, Erin mahu menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang pengarahan filem.

“Tapi saya mahu belajar menggunakan wang dari hasil titik peluh saya sendiri,” katanya.

ZAINI ZAA/Warta Perdana/Berita21 Malaysia
Iklan