Yuyue Nurul Tidak Sangka Masuk Nominasi ABPBH 2011


PENYAMPAI radio Klasik Nasional, Nurul Aishah Bidin, 29, amat teruja ketika diberitahu namanya dicalonkan bersama 19 penyampai radio bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.

Nurul Aishah atau lebih popular dengan nama Yuyue Nurul, menyifatkan pencalonan itu tidak pernah diduga, apatah bakal bersaing dengan penyampai radio wanita ternama seperti Fara Fauzana (HotFM), Raja Azura (SinarFM), Linda Onn (SuriaFM) dan ramai lagi penyampai radio.

Bagaimanapun anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini, tidak menaruh harapan tinggi untuk menjulang trofi idaman ramai penyampai radio ini. Namun percaya kepada rezeki yang ditetapkan Allah SWT, kalau rezeki tidak ke mana.

“Saya akui sangat teruja dan terkejut apabila menerima panggilan telefon dari rakan dan pendengar setia Klasik Nasional. Ramai ucap tahniah.

“Saya fikir mereka main-main, tetapi setelah melihat akhbar barulah saya percaya.

“Memang saya akui tidak menyangka nama tersenarai bersama 18 penyampai radio popular di Malaysia ketika ini. Saya rasa sangat bertuah,” kata Yuyue ketika dihubungi.

Dilahirkan pada 28 Januari, Yuyue Nurul yang kini berada di Ho Chi Minh, Vietnam, kerana menghabiskan cuti tahun, mula menimba pengalaman sebagai deejay sewaktu di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2003.

Sebagai deejay radio kampus UUM, Yuyue Nurul menjadikan peluang ini kesempatan yang patut direbut, apatah lagi cita-cita asalnya mahu menjadi penyampai radio.

“Selepas tamat pengajian di UUM, pada Ogos 2006 saya pulang ke kampung dan pada November pada tahun yang sama saya mohon kerja di KelatanFM.

“Alhamdulillah saya diterima kerja di RTM KelantanFM sebagai deejay. Punyalah seronok kerana impian tercapai.

“Tapi tak lama saya di KelantanFM. Pada 2009 saya dipindahkan ke Klasik Nasional sehinggalah sekarang.

“Selain sebagai penyampai radio saya juga penerbit rancangan Aku Dia Dan Lagu (ADILA) dan juga penerbit drama,” katanya yang bakal menaiki jinjang pelamin tidak lama lagi dengan jejaka pilihan juga kakitangan RTM.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan Kuala Krai, Kelantan ini, pernah menjadi hos TV Konsert Bintang Nostalgia Klasik Nasional bergandingan dengan penyanyi/pelakon ND Lala.

“Memamg gugup rasanya muncul di depan kamera apatah lagi inilah kali pertama.

“Namun saya lakukan latihan di hadapan cermin di dalam bilik air bagi hilangkan perasaan itu beberapa hari sebelum rakaman program ini dibuat.

“Alhamdulillah, selepas itu saya rasa normal dan itulah pengalaman yang tidak saya lupakan,” katanya yang bakal muncul di TV1 dalam program Sayembera Puisi DBP pada Disember ini.

Tambah Yuyue Nurul lagi, semangat kerja terus meluap kerana mendapat restu ayah dan ibu yang turut berbangga menjadi ahli keluarga pertama bekerja sebagai penyampai radio.