Lisa Surihani: Jangan Abaikan Pelajaran Jika Mau Jadi Artis


PELAKON Wanita Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-24, Lisa Surihani menasihati golongan remaja yang meminati dunia hiburan tidak mengabaikan pelajaran demi masa depan mereka.

Nasihat itu disampaikan Lisa dalam majlis penyampaian Anugerah Artis Wanita Muda Cemerlang sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lisa, artis pertama menerima anugerah ini dari Pergerakan Puteri Umno Malaysia.

“Saya menasihati golongan remaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni sama ada sebagai pelakon atyau penyanyi agar tidak sekali-kali meninggalkan pelajaran.

“Sekiranya mempunyai pendidikan yang tinggi sudah pasti mereka mempunyai pilihan untuk lebih berjaya dalam karier seni mahupun memilih bidang lain sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Lisa yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom, bagaimanapun bangga kerana ramai artis muda hari ini mempunyai latar belakang pelajaran yang baik.

Pelakon utama filem Ombak Rindu ini mengaku teruja menerima anugerah tersebut dari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

Dia yang bakal menaiki jenjang pelamin Februari depan menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan masyarakat sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Lisa juga berharap anugerah ini memberi semangat kepadanya untuk terus mengorak langkah dan bekerja keras dalam bidang yang diceburinya.

Anugerah itu disampaikan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selepas menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung pergerakan itu di PWTC, Kuala Lumpur.

“Anugerah ini sangat memberi makna dan menyuntik semangat positif kepada saya serta kepada kaum wanita, terutamanya kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni,” katanya.

Turut menghadiri perhimpunan itu ialah pelakon Serina Chef Wan yang berharap kehadirannya dapat merenjis semangat baru kepada Puteri UMNO dalam usaha memperjuangkan agenda mereka untuk nusa dan bangsa.

Serina turut memuji ucapan Datuk Rosnah sambil menyatakan sokongan penuh kepada perjuangan Puteri UMNO.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO yang sentiasa bekerja keras menjayakan pelbagai program untuk masyarakat.

“Semoga Puteri UMNO terus memainkan peranan yang lebih besar lagi. Sejujurnya saya menyokong penuh perjuangan UMNO,” kata Serina.

ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21 Malaysia