Aku Maafkan Kamu, Kolaborasi Antara Raja Rap Dengan Raja Pop


Malaysia – Berita21: SESUAI dengan gaya muzik masa kini, Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah, tidak teragak-agak berentap dengan dua penyanyi rap yang boleh digelar Raja Rap, Malique dan Tripdisz menerusi lagu Aku Maafkan Kamu.

Lagu ini yang dimuatkan dalam album terbaru Jamal Raja Pop 2, terbitan Warner Music, kini sudahpun menemui pendengar sejak minggu lalu.

Keunikan album ini ialah gabungan sulung antara dua raja pop dan rap, menjadikan kolaborasi ini bagaikan hadiah istimewa bagi peminat Jamal Abdillah yang berjiwa muda!

Lirik lagu ini yang dicipta oleh Malique, merupakan lagu berunsur nasihat yang merungkai ranjau kehidupan. Dengan memberi penekanan terhadap aspek kemaafan, lagu ini mengetengahkan kealpaan dan kejahilan umat manusia.

Menyentuh aspek mesej yang ingin disampaikan, lagu ini juga ada menyebut tentang perlakuan pesalah yang dibelenggu rasa bersalah, juga faktor-faktor yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.

Menerusi penggunaan kosakata yang berat menerusi lagu ini pula, olahan Raja Rap tanah air ini tentunya sesuatu yang menarik untuk dikaji dan didalami dalam rentak lagu yang berbeza.

Disampaikan dalam mood rancak, lagu hasil gabungan kerjasama antara Malique, Jamal Abdillah dan Tripdisz ini tentunya sebuah halwa telinga yang tidak membosankan!

ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21 Malaysia