Film Ombak Rindu Pecahkan Rekor di Malaysia


SELEPAS kejayaan novel Lagenda Budak Setan yang berjaya menarik ramai penonton untuk ke pawagam menonton filem tersebut, kali ini satu lagi filem yang diadaptasi dari novel popular Ombak Rindu hasil karya penulis popular dari Johor, Fauziah Ashari.Ternyata kehebatan filem Ombak Rindu tidak perlu disangkal lagi apabila berjaya mendapat kutipan RM5.2 juta dalam masa seminggu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 1 Disember lalu.

Ombak Rindu arahan sutradara Osman Ali, diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama Tarantella Pictures. Antara barisan pelakon hebat mewarnai filem ini ialah Maya Karin, Lisa Surihani, Aaron Aziz, Bront Palarae, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri dan ramai pelakon popular lagi.

Faktor filem ini mendapat sambutan kerana jalan ceritanya sangat menyentuh hati dan diangkat menjadi filem air mata Melayu serta pelakonnya yang mempunyai ramai peminat. Selain itu, penonton juga kehausan menonton filem bergenre drama romantik.

Lebih membanggakan, Ombak Rindu menjatuhkan kedudukan filem nombor satu dunia ketika ini, The Twillight Saga: Breaking Down – Part 1 setelah flilem Hollywood itu tersingkir ke kedudukan kedua carta box-office tanah air minggu ini.

Melihat sambutan serta judul Ombak Rindu yang menjadi topik popular di laman sosial Twitter, karya lakon layar Armantono serta Osman itu dilihat mampu berdiri sebagai naskhah yang tidak cacat-cela.

“Saya tidak berani terima tawaran baharu, kena tengok sambutan Ombak Rindu dulu. Tidak semua novel mampu memberikan impak bila diadaptasi, kena teliti,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod, Bicara Cinta,” kata Osman, sutradara filem Cun, Anak Halal dan Puaka Tebing Biru.

Bintang utamanya, Maya Karin antara yang mendapat perhatian apabila watak Izzah cukup cemerlang dibawakannya. Bagi Maya, dia sendiri tidak pernah menyangka Ombak Rindu akan memberikan impak seperti mana yang dapat dilihatnya ketika ini.

“Apabila menerima tawaran untuk Ombak Rindu, saya tidak pernah memikirkan tentang kutipan tiket atau membayangkan sejauh manakah filem ini dapat diterima dengan baik.

“Apa yang penting bagi saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Saya juga percaya semua pelakon dan seluruh krew produksi juga telah memberikan kerjasama yang cukup baik untuk menjadikan Ombak Rindu sebagai sebuah karya yang baik.

“Lalu, apabila Ombak Rindu mendapat sambutan luar biasa seperti sekarang, ternyata ia sesuatu yang mengejutkan. Tiada kata yang saya dapat ucapkan melainkan terima kasih kepada semua yang menyokong Ombak Rindu,” kata Maya dalam nada yang cukup optimis.

Sementara itu, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mencipta keserasian dengan mana-mana pelakon yang digandingkan bersamanya. Menerusi Ombak Rindu, Maya dilihat mempunyai keserasian yang sangat baik dengan hero pujaan wanita masa kini, Aaron Aziz.

“Ini merupakan gandingan pertama saya dengan Aaron walaupun pernah berlakon dalam filem Pisau Cukur sebelum ini. Tetapi ketika itu, saya tidak banyak adegan bersamanya.

Apabila diberi peluang bergandingan dalam Ombak Rindu, saya dan Aaron dapat menghayati watak masing-masing dengan baik sekali meskipun ada babak yang kelihatan begitu intim sekali,” kata Maya yang pernah diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (2004) menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam di Fukuoka, Jepun ini lagi.

Filem ini mengisahkan tentang perjalanan cinta dua insan, Izzah dan Hariz dari dua dunia yang berbezadan mereka terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum menemui kebahagiaan. Izzah adalah gadis kampung yang telah dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di K.L untuk dijadikan pelacur. Seorang pemuda, Hariz anak Datuk Sufiah, pemilik empayar perniagaan SUFIAH CEMERLANG telah mermbeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanan, namun Izzah telah merayu Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka.

Di kala filem ini mencatat kutipan pecah panggung, penonton pula hangat berbual tentang filem romantik ini, tercetus kontroversi membabitkan penulis novel ini merasa kecewa kerana pihak produksi kerana tidak memanggilnya untuk sama-sama menyertai produksi ini sebagai penasihat skrip hatta penulis skrip. Selain itu isu bayaran juga dikatakan tidak setimpal diterima oleh penulis buku ini.

Penerbit Alaf 21, Datuk Hussamuddin Yaacub tampil memberi penjelasan sebenar berhubung kenyataan penulis asal novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari yang mengatakan beliau tidak menerima bayaran setimpal selepas karyanya diangkat menjadi filem.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) berkata, sikap Fauziah disifatkan sebagai tidak bersyukur tetapi tetap memaafkan tindakan penulis tersebut yang dilihat seperti tidak memahami kandungan kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

“Pihak kami telah menjelaskan kepada penulis-penulis kami untuk membaca dan memahami sepenuhnya kandungan kontrak sebelum tandatangan”.

“Malah, di dalam kontrak, terdapat klausa yang menyatakan pihak penerbit boleh melakukan apa sahaja kepada hasil karya penulis sama ada diadaptasi kepada pelbagai bentuk tanpa perlu merujuk kepada penulis,” katanya dalam sidang media, di Auditorium KMK, semalam.

Dalam pada itu, Hussamuddin turut menjelaskan bahawa novel Ombak Rindu sebelum ini sudah tercetak sebanyak 23 kali dan Fauziah sudah menerima lebih RM219,000 dalam bentuk wang royalti sejak jualan pertama sekitar tahun 2002.

ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21 Malaysia