Ain Nordin Resah Ingat Masa Lalunya


Malaysia – Berita21: Artis muda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Nurul Ain Nordin atau Ain Nordin, 23, mengaku rimas setiap kali dikaitkan dengan kisah silamnya.

Tanpa menyebut kisah silam yang dimaksudkan itu Ain bertekad tidak mahu kisah lama yang terpalit dalam hidupnya sebagai artis terus menjadi bualan peminat.
Pelakon drama Cinta Medik 2 ini lebih selesa berbual mengenai karier seninya berbanding isu remeh-temeh.
Ain yang membawa watak Cempaka dalam filem pertamanya, Suatu Malam Kubur Berasap, lebih rela penonton mengkritik lakonannya dalam filem tersebut daripada mengungkit kisah lamanya.
“Bagi Ain, yang lalu tu biarkan berlalu. Ain lebih gembira jika peminat kritik lakonan dalam filem daripada memperkatakan kisah yang sudah berlalu,” ujarnya.
Secara jujur Ain mengaku rasa rendah diri berlakon di samping pelakon lebih berpengalaman.
“Mereka banyak beri tunjuk ajar, jadi tak rasa kekok sangat berlakon bersama mereka,” kata bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Kuala Klawang, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor ini muncul dalam filem Lu Pikirla Sendiri De Movie sebagai pelakon undangan.
Ain pernah berlakon dalam telemovie Maisarah, Suara Banduan, Anak Mami dan Impian Anggun selain berjaya sebagai finalis Dewi Remaja 2008 serta menjadi model fesyen.
“Pengalaman berlakon beberapa drama seperti Cinta Medik banyak mengajar Ain meningkatkan mutu lakonan.
“Pemilihan Ain dalam filem ini kerana sutradara Suatu Malam Kubur Berasap, Ernie Chen mahukan wanita berwajah Melayu tulen,” kata pengacara program TV, Alamak Kan Dah Kena, terbitan RTM.
Filem seram komedi terbitan outLOUD Studio ini turut dibintangi lima bintang Raja Lawak iaitu Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz. Selain bintang realiti Raja Lawak, turut berlakon  Zac Diamond, Ruminah Sidek, Accapan, Allahyarham Zami Ismail dan ramai pelakon pembantu termasuk Ernie Chen. Filem ini mula ditayangkan di pawagam sejak 22 Disember lalu.
Suatu Malam Kubur Berasap yang menjalani penggambaran selama 18 hari di empat lokasi, antaranya Kuang, Rawang dan Ijok, Selangor. Filem ini mengisahkan  tiga sahabat kampung iaitu Atan, Bun, Pet dan seorang sahabat dari bandar yang baru dikenali iaitu Mie.
Atan (Angah Raja Lawak) seorang yang lurus bendul, rajin, ringan tulang dan bekerja sebagai penggali kubur. Bun (Along Raja Lawak) seorang kutu rayau yang gemar merempit dengan motor kapcainya. Hampir setiap malam dia mengacau gadis kilang yang pulang dari kerja.
Pet (Azrul Raja Lawak) pula pemandu lori ayam yang sering bekerja lewat malam. Beliau mempunyai suara sengau, suka berlagak dan bercakap besar terutamanya melibatkan perkara mistik dan hantu. Ketiga-tiga mereka sering diganggu oleh Jerdil dan Tocai, Geng Beduk, samseng kampung.
Mie (Zac Diamond) seorang lelaki yang kacak dan segak dari Kuala Lumpur, mula rapat dengan ketiga-tiga sahabat ini selepas keretanya rosak di kampung. Beliau mempunyai tunang bernama Lola. Sejak kedatangan Mie, pelbagai peristiwa pelik dan menakutkan berlaku.
Mereka juga berkenalan dengan seorang gadis bernama Siti yang menjemput mereka ke kenduri rumahnya. Atan tertarik dengan keayuan Siti dan mahu mengenalinya. Mereka berempat juga sering diganggu Hantu Cempaka.
Dari mana datangnya Hantu Cempaka? Mengapa Hantu Cempaka hanya menganggu mereka? Apakah sebenarnya berlaku di Kampung Angan Tak Sudah? Filem ini akan menceritakan segala-galanya.
Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21
Iklan