Elly Sanggup Perankan Apa Saja


Malaysia – berita21: SEJAK diperkenalkan Mamat Khalid dalam filem Zombie Kampung Pisang, Elly Sarimah terus memasang tekad mahu menjadikan bidang lakonan sebagai jaminan masa depannya.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini tetap berpegang pada janjinya sanggup buat apa saja, asalkan dapat peluang berlakon, biarpun sebagai pelakon ektra atau pembantu.

Pemilik nama sebenar Sarimah Mohd Daud berusia 29 tahun ini bersyukur sejak muncul dalam filem Zombie Kampung Pisang, langkahnya dalam bidang lakonan  semakin panjang.

Filem inilah meletakkan nama Elly terus melekat di bibir peminat.

“Saya berterima kasih kepada Abang Mamat kerana beri peluang saya berlakon dalam filem Zombie Kampung Pisang, sekalipun sebagai pelakon tambahan.

“Saya sanggup lakonkan watak apa saja asalkan mampu saya lakukan dengan baik. Apa yang penting dapat berlakon.

“Jika tidak, mungkin impian saya terkubur begitu sahaja dan sekadar menjadi penonton sahaja. Bermula dengan inilah saya mencuba nasib menyertai rancangan realiti Raja Lawak musim kelima.

“Sekalipun tersingkir, namun penyertaan ini sangat berbaloi. Selain dapat menimba pengalaman beraksi di teman kamera dan penonton secara langsung, saya anggap Raja Lawak pintu saya lebih serius di pentas lakonan,” kata Elly.

Elly yang ketika ini sibuk di lokasi penggambaran drama Tulus Menanti Takdir di Ampang Hilir, Kuala Lumpur, berharap dia diberi kepercayaan melakonkan watak utama suatu hari nanti.

“Itulah azam tahun baru saya, mahu lebih serius berlakon dan pada masa sama turut mencuri masa mencipta lagu komedi untuk album single saya nanti,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Elly, single komedi itu akan dimuat turun di Youtube sebagai percubaan pertama.

“Kalau lagu komedi ini mendapat sambutan, saya merancang mahu bergabung dengan beberapa pelawak lain menghasilkan lagu seperti itu untuk pasaran komersil,” katanya.

Mengenai lakonannya sebagai Nora dalam drama Tulus Menanti Takdir arahan Rina Khan, Elly turut merebut kesempatan menimba ilmu dari pelakon wanita terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-24, Siti Shahrizah atau Eja.

“Inilah kali pertama saya berlakon di bawah arahan Kak Rina Khan dan juga bersama Kak Eja.

“Bagi saya memang macam bermimpi berlakon di samping Kak Eja. Dia pelakon berbakat besar, rugi jika saya tak rebut peluang mendapat tunjuk ajar daripadanya,” kata Elly lagi.

Drama 13 episod ini diterbitkan oleh Metrowealth Picture turut dibintangi Eizlan Yusof, Qhoud AF, Nazeera Saidi dan ramai lagi mengisahkan seorang suri rumah  lumpuh akibat kemalangan, terpaksa menghadapi hari-hari mendatang penuh kecekalan.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21