Artis Makan Cacing


Walaupun jijik dan mahu termuntah, namun Angah Raja Lawak terpaksa memasukkan tiga genggam cacing hidup bercampur tanah ke dalam  mulutnya.

Angah atau nama sebenarnya, Iskandar Shah Hashim, 32, berkata dia melakukan adegan makan cacing itu semata-mata menurut skrip filem baru lakonannya, Suatu Malam Kubur Berasap.

Secara jujur Angah mengaku serik melakonkan adegan itu pada masa hadapan.

“Lain kali kalau disuruh buat begini saya tak sanggup,” katanya ketika dihubungi.

Menyedari penonton akan merasa mual melihat adegan itu, Angah yang memegang watak utama sebagai Atan, berharap selepas ini cuba mengelak melakonkan watak seperti itu.

“Pengarah filem ini mahu lakonan saya nampak real. Justeru, saya cuba berikan yang terbaik kerana jurugambar mahukan adegan itu dirakam dengan jelas,” ujarnya.

Sebagai pelakon, katanya, dia terpaksa akur dengan kehendak pengarah dan jurukamera demi memastikan adegan itu bukan pura-pura.

Untuk menjayakan adegan itu Angah terpaksa masukkan tiga genggam cacing hidup yang masih bergerak-gerak itu bercampur tanah ke dalam mulutnya.

Katanya, cacing itu pula cacing betul dan masih hidup.

“Rasanya boleh tahanlah, agak kenyal. Macam pelastik pun ada, tetapi apabila terkena lelangit saya macam nak termuntah. Tetapi saya tahan juga,” kata Angah berterus terang.

Suatu Malam Kubur Berasap diarahkan oleh Chen Kok Weng atau nama glamornya, Ernie Chen, mula memasuki pawagam seluruh tanah air mulai 22 Disember lalu turut dibintangi Along Cham, Hazrul Zaidi, Nurul Aini, Zack X-Factor, Accapan, Ruminah Sidek, Allahyarham Zami Ismail dan ramai lagi pelakon pembantu.

Selain pengalaman makan cacing, Angah juga terbabit dalam adegan tidur dalam liang lahat.

Bagi pelakon kelahiran Johor Bahru ini, dua adegan itu diingatinya sampai bila-bila dan sukar dilupakan.

“Saya harap filem ini dapat memuaskan hati penonton dan peminat filem hantu. Inilah filem saya sebagai hero.  Sebelum ini saya juga bawa watak utama dalam filem Alamak Toyol. Terima kasih atas sokongan semua,” kata Angah.

Sejak meninggalkan gelanggang Raja Lawak, Angah berlakon lebih tujuh filem, tidak termasuk dua filem baru yang akan ditayangkan tahun depan iaitu Hantu Dalam Botol Kicap dan Seram Sejuk, yang juga sebagai pelakon utama.

Kejayaan filem Ngangkung yang turut dibintanginya mencatat kutipan lebih RM8 juta, sedikit sebanyak menyuntik semangat dan keyakinan filem-filem lakonannya  bakal meraih rezeki serupa.

Angah yang turut bertanggung jawab terhadap 12 peserta musim baru rancangan Raja Lawak Ke-6, sebagai Chef Kecik bersama Yus dan Tauke, bersyukur dengan apa yang diperolehi hari ini.

“Semuanya berubah selepas saya menyertai rancangan Raja Lawak. Alhamdulillah, sejak itu saya mengambil keputusan pilih  jalan ini sebagai sumber rezeki.

“Insya-Allah, saya akan terus berlakon selagi peminat beri sokongan,” kata Angah lagi.

Terbaru, Angah bersama 20 artis termasuk Nabil, Along, Zizan dan Johan, tersenarai dalam kategori Artis Komedi Lelaki Popular, merebut lima tempat ke final Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Oleh ZAINI ZAA / Warta Perdana / Hatta Sanie /Berita21