Lagu Single Hujan “Kotak Hati”, Enjoy!


Malaysia – Berita21: KUMPULAN indie terkenal Malaysia, Hujan kini muncul dengan single terbaru mereka berjudul Kotak Hati. Lagu berirama balada dengan susunan muzik cukup menenangkan ditambahkan pula dengan instrumen band serta diiringi strings, membuaikan perasaan pendengar.

Dalam ertikata lain, lagu dan lirik yang dihasilkan sendiri oleh vokalis Hujan,  Noh ini sememangnya enjoy! Klip video lagu single terbaru ini, telah disiarkan secara eksklusif di TV9 menerusi dua rancangan hiburan terbitan stesen televisyen tersebut  iaitu HIP TV pada 24 November dan Galaksi, pada 25 November lalu.

Inilah single terbaru Hujan yang mendapat kerjasama erat dengan TV9, sebagai stesen TV pertama mendapat  hak dari Warner Music Malaysia, penerbit lagu single ini, untuk menyiarkan klip video lagu ini di TV9.

Vokalis Hujan, Noh akui sangat teruja dengan kolaborasi ini lebih-lebih lagi Hujan merupakan artis pertama yang terpilih dalam siaran perdana program ini.

“Klip video Kotak Hati dihasilkan secara sederhana dan ia sebuah lagu  berkonsep balada. Tetapi kami merasakan sangat bangga apabila diberi peluang lagu ini disiarkan secara eksklusif di TV9,” kata Noh ketika majlis A Special Collaboration With TV9 presenting Hujan – Kotak Hati’ di pejabat Warner Music Malaysia, di KL, baru-baru ini.

Selain Noh, turut hadir di majlis ini, dua lagi anggota kumpulan Hujan iaitu Hang Dimas dan Izzat.

Lagu Kotak Hati menceritakan tentang kisah percintaan sepasang kekasih membina hubungan dengan keikhlasan dan mereka sanggup untuk berkongsi segala suka duka yang dihadapi bersama dan berharap untuk terus setia bersama. Namun impian tidak semesti menjadi kenyataan.

Menerusi lirik dan klip video ini, penonton dapat melihat bagaimana pasangan ini meluahkan hati mereka menerusi lagu.

‘Sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Setelah menempuhi segala suka dan duka, akhirnya mereka terpaksa akur dengan perpisahan yang berlaku ketika cinta semakin mekar.

Secara tidak langsung lagu Kotak Hati ditafsirkan sebagai kisah percintaan yang tidak kesampaian. Klip video lagu ini diarahkan oleh Tengku Mona Riza Tengku Khalid dan menjalani penggambaran pada Ramadhan lalu.

Selain menampilkan anggota Hujan sendiri, video tersebut juga memaparkan beberapa babak dalam telefilem Uri lakonan Tengku Norhanis dan Beto Kusyairi yang pernah disiarkan di saluran Astro Box Office.

Oleh ZAINI ZAA / Warta Perdana / Hatta Sanie/Berita21
Iklan