Zerra Dapat Restu Dari Ibunda


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA 21.COM: Pelakon baru drama TV, Nazeera Sardi, 25, berharap diberi peluang memikul peranan gadis bertudung yang menjadi mangsa deraan.

Pengakuan jujur pelakon kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan ini bagi menggilap bakat lakonan yang selama ini banyak melakonkan watak kurang mencabar.

Nazeera yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Zerra, mengakui sejak beberapa bulan bergelar anak seni banyak pencapaian digapainya.

Pemegang ijazah dalam jurusan Bio Teknologi dari Universiti Industri Selangor (UNISEL) itu berharap tahun baru 2012 akan membawa tuah dan berazam memberi sepenuh tumpuan dalam bidang lakonan daripada memikirkan soal cinta dan perkahwinan.

Zerra bersyukur kerana impiannya sejak di bangku sekolah mahu bergelar pelakon kini menjadi kenyataan. Tetapi selepas meninggalkan universiti, Zerra memulakan kerjaya sebagai pengacara program syarikat telekomunikasi.

“Sejak muncul dalam program itu saya dapat banyak tawaran berlakon, antara yang terawal berlakon drama bersiri Hotel Hassanah di TV al-Hijrah,” katanya yang kini menetap di Bandar Sunway, Selangor.

Anak bungsu daripada lapan beradik ini turut teruja kerana dalam tempuh 10 bulan bergelar pelakon sudah membintangi beberapa drama berepisod termasuk dua filem bakal ditayangkan pada tahun depan.

Antara drama lakonan Zerra ialah Bunga April yang kini disiarkan di TV3 dan Tulus Meniti Takdir. Kini Zerra terbabit dalam penggambaran filem Pintu Neraka serta Papadom 2.

Bekas pelajar King George V Seremban, Negeri Sembilan ini gembira kerana penglibatannya sebagai pelakon mendapat restu ibu, malah dia menjadi kebanggaan keluarga kerana anak tunggal terlibat dengan dunia seni.

“Zerra berterima kasih kepada ibu dan keluarga yang memberi sokongan moral dan merestui kerjayanya sebagai pelakon.

“Tanpa restu mereka mungkin impian Zerra tidak tercapai dan hanya bekerja sebagai penyelidik produk kesihatan di makmal,” katanya yang kini terbabit sebagai pembantu hos program kuiz 1Hati Cinta Negara di TV1 RTM.

Bercita-cita membuka bisnes berkaitan dengan bio teknologi, Zerra menyifatkan pengalaman berlakon drama 13 episod, Tulus Meniti Takdir, membantu memantapkan kerjayanya.

“Kak Rina Khan sebagai pengarah drama ini banyak membimbing dan membantu Zerra menghayati watak dengan lebih berkesan.

“Zerra sangat bertuah mendapat tunjuk ajar dari Kak Rina Khan sepanjang penggambaran demi mendapatkan lakonan berkualiti,” ujarnya.

Dalam drama ini Zerra memegang watak Salwa, pelajar yang sering memberontak apabila mendapat tahu ayahnya berkahwin lagi selepas ibu menjadi lumpuh akibat kemalangan,” katanya yang gemar menyanyi dan suka masakan tomyam.

Drama Tulus Meniti Takdir diterbitkan Layar Viana, bakal disiarkan di RTM tahun depan, dibintangi pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24, Siti Shahrizah atau Eja, sebagai ibu bernama Aishah, Eizlan Yusof (watak ayah bernama Wahab), Qhaud AF7, Elly Sarimah Raja Lawak, Zima Din, Lutfya AF, Ieka Sue dan ramai pelakon pembantu.

“Zerra berhasrat menyertai kelas teater di sekitar Kuala Lumpur bagi memantapkan mutu lakonan,” katanya yang memasang impian bercuti ke Eropah.

Oleh ZAINI ZAA hellobolly@yahoo.com / Warta Perdana / Hatta_Sanie / Berita21