MoU Industri Muzik Malaysia – Indonesia


KUALA LUMPUR, MALAYSIA/BERITA21.COM – Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Asosiasi Industri Rekaman Indonesia (ASIRI) dan PT.AS Industri Rekaman Indonesia (ASIRINDO)  ditandatangan oleh Pengerusi-Pengerusi masing-masing di DEA Tower 1, Mega Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia, baru-baru ini.

Sebagai organisasi barisan hadapan industri muzik di Malaysia dalam menangani pelbagai isu berkenaan dengan industri, RIM  terus memokas  pembangunan perniagaan baru seperti pengedaran muzik menerusi saluran digital dan menangani cetak rompak berhubung dengan hak cipta rakaman bunyi, muzik video dan karaoke.

RIM secara agresif menerajui pembangunan perniagaan dan pasaran untuk ahli-ahlinya termasuk dengan cara menubuhkan sebuah anak syarikat penguatkuasa, perniagaan digital dan perlesenan kolektif – BruCop Sdn Bhd di negara Brunei Darussalam awal tahun ini.

Menerusi pelaksanaan MOU ini, RIM kini telah merasmikan visinya untuk memupuk hubungan erat di antara industry-industri muzik Malaysia dan Indonesia yang berkongsi hubungan budaya erat sebagai tambahan kepada bahasa yang sama.

Sebagai tambahan kepada MOU ini, RIM serta anak syarikat perlesenan kolektif milik sepenuhnya – PPM bersama-sama dengan rakan-rakan Indonesia – ASIRI dan ASIRINDO, akan bekerjasama secara rapat dan agresif untuk pembangunan merentas sempadan hubungan industri muzik dan perniagaan di antara Malaysia dan Indonesia.

Antara inisiatif kerjasama yang dipersetujui adalah sokongan bersama dan pengiktirafan antara satu sama lain rancangan anugerah muzik nasional tahunan iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Muzik Indonesia (AMI) dengan RIM dan ASIRI masing-masing memperuntukkan satu slot rancangan anugerah secara langsung untuk artis-artis rakaman ahli-ahli mereka.

RIM dan ASIRI turut menetapkan sasaran untuk ahli-ahli masing-masing untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 10 buah lagu gabungan Indonesia-Malaysia untuk jualan komersial dalam tahun pertama kerjasama ini.

Lagu duet/kerjasama popular dan berjaya antara artis-artis Malaysia dan Indonesia pada masa lalu termasuk 19 lagu.

Lagu-lagu tersebut ialah Cinta Yang Sempurna – Adi (Sixth Sense) & Neo (Letto), Ceritera Cinta – Jaclyn Victor & Rio Febrian, Dua Hati Menjadi Satu – Dafi & Gita Gutawa,  Sayang – Dayang Nurfaizah & Marcell, Dibius Cinta – Yusry (KRU) & Melly Goeslow, Perlu Kamu – Ajai & Kris Dayanti, Amarah – Dato’ Siti Nurhaliza & Kris Dayanti, Tanpamu – Dato’ Siti Nurhaliza & Kris Dayanti, Jika Kau Tak Datang – Dato’ Siti Nurhaliza & Kris Dayanti, Begitula Cinta – Dato’ Sheila Majid & Harvey Malaiholo, Ingatlah Diriku – Dato’ Sheila Majid & Chandra, Dia, Aku dan Kamu – Nadia (AF6) & Red Peanut, Seperti Dulu Lagi – Sabhi Saddi & Vienna Fridiana, Dengarkanlah – Amy Mastura & Glenn Fredly, Nada Cinta – Erra Fazira & Rio Febrian, Dekat Tapi Jauh – Ziana Zain & Broery Marantika, Bintang Kehidupan – Ronnie (Sunday) & Yanti Aryanto, Antara Kita – Ning Baizura & Hedi Yunus  dan Cinta Kita – Amy Search & Inka Christie.

“Bagi pihak industri rakaman Malaysia, saya mengalu-alukan Memorandum Persefahaman bersejarah ini yang menandakan peningkatan kerjasama dan perdagangan dua hala di antara industri muzik Malaysia dan Indonesia yang akan saling memperkayakan lagi budaya kedua-dua negara”, kata Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim.

Menurut beliau, RIM kini dipandang sebagai persatuan yang progresif dan berwibawa, dan bersama dengan sumbangan penting perlesenan PPM, kedua-dua badan Malaysia ini telah diakui sebagai antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik.

Satu lagi tujuan utama MOU adalah untuk PPM untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman untuk memberi perkhidmatan perundingan pelesenan hakcipta secara kolektif kepada pengurusan ASIRINDO dalam isu-isu pelesenan hak cipta dan melaksanakan kutipan dan pengagihan royalti berdasarkan peruntukan undang-undang Indonesia.

“Sebagai Pengerusi PPM, saya amat berbangga kerana kami dapat berkongsi pengalaman Malaysia dalam perlesenan kolektif untuk industri rakaman Indonesia untuk membantu peningkatan pendapatan perlesenan persembahan awam, penyiaran dan pengeluaran semula yang telah semakin penting untuk syarikat rakaman untuk terus melabur dan menghasilkan artis dan rakaman muzik yang hebat,” kata Pengerusi PPM, Adrian Lim.

Pengurus Besar ASIRINDO, ASIRI dan ASIRINDO, Yessi Kurniawan, pula mengulas  keputusan  bekerjasama secara khusus dengan RIM dan PPM sangat baik demi masa depan industri muzik bagi kedua-dua  negara.

Organisasi Malaysia ini telah membangunkan sistem perlesenan hak cipta kolektif yang baik dan caranya yang telus dalam pengagihan royalti kepada ahli-ahlinya.

“RIM dan PPM adalah dua badan yang berjaya bukan sahaja untuk industri muzik di Malaysia tetapi juga di antara yang terbaik di dunia, dan kami amat berbangga atas kerjasama mereka sebagai rakan kami”, kata Yessi.

MOU ini menandakan suatu pencapaian yang tidak dapat dilupakan dan luar biasa dalam industri muzik tempatan dalam tahun 2011 dan visi yang berterusan, penentuan dan panduan daripada kumpulan RIM, industri muzik Malaysia dengan pastinya boleh mengharapkan satu permulaan yang terkemuka dan menarik dalam tahun 2012.

Keterangan gambar:

Dari kiri, Pengurus Besar ASIRINDO – Yessi Kurniawan, Timbalan CEO Kumpulan RIM – R Ramani Ramalingam, CEO Kumpulan RIM – Tan Ngiap Foo, Pengerusi PPM – Adrian Lim, Pengerusi RIM – Norman Abdul Halim, Pengerusi ASIRI – Handi Santoso, Pengarah ASIRINDO – Jusak Irwan Sutiono, Ahli Majlis ASIRI– Gumilang Ramadhan, Pengurus Besar ASIRI – Marulam J. Hutauruk SH dan Pengurus ASIRI – P. Ceno.

Oleh ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta_Sanie/Berita21

Iklan