Shaz, Dari Jual Mesin Jahit, Kini Jadi DJ HotFM Kelate


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.COM: IBARAT sirih pulang ke ganggang, begitulah perumpamaan boleh diberikan kepada Shazwani Mohamad Shakeri atau Shaz, 26, apabila kembali semula menyumbang khidmat di negeri kelahirannya, Kelantan Darul Naim.

Shaz yang terpilih sebagai deejay muda stesen radio HotFM Kelante, berpangkalan di Kota Bharu, mengakui sudah tidak sabar memulakan tugasan pada hari pertama sebagai deejay di negeri Cik Wan Kembang ini.

“Saya dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan tetapi dibesarkan di Kuala Lipis, Pahang. Kemudian selepas berkahwin saya berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Bagi Shaz, apa yang terjadi memang tidak diduga dan amat teruja kerana mendapat peluang keemasan ini. Shaz harap dapat memberi yang terbaik kepada pendengar di Pantai Timur sebagai membalas kepercayaan HotFM,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

Shaz yang juga seorang blogger aktif, mengendalikan blog Aku Ibu Muda, mendirikan rumah tangga dengan jejaka dari Negeri Sembilan, mengakui amat bertuah kerana terpilih daripada 500 calon yang menyertai sesi uji bakat, baru-baru ini.

Selain mengendalikan blog Aku Ibu Muda, Shaz yang kini tinggal di Puchong, Selangor juga mempunyai dua lagi blog iaitu My Stitches of Love dan Bila Ibu Muda Berleter.

Tiga lagi rakan deejay muda turut menemani Shaz di HotFM Kelante ialah Mohd Farid Mohd Nor (Farid), 24, Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), 23, dan Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23 tahun.

“Saya bersyukur kerana terpilih sebagai deejay pertama stesen HotFM Kelate. Saya harap pendengar bersabar menanti kemunculan kami yang akan mula bersiaran pada 2 Januari nanti.

“Saya percaya HotFM Kelate yang berpangkalan di Kota Bharu bakal mendapat sambutan hangat. Apatah lagi ia stesen radio No 1 di Malaysia. Jadi kepada pendengar setia, jangan lupa dengar HotFM Kelate menerusi frekuensi 105.1 bersama-sama 300,000 pendengar lain.

“Insya-Allah, saya akan berpindah ke Kota Bharu bagi memudahkan kerjaya ini nanti,” kata Shaz yang mula menjadi blogger sejak Disember tahun lalu.

Biarpun begitu, HotFM masih mengekalkan segmen HotFM AM Krew pada jam 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan penyampai Fara Fauzana, AG, Usop dan Faizal Ismail. Bagaimanapun Shaz dan rakan-rakan deejay HotFM Kelante, mula berkonti jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai pentadbir laman sesawang di syarikat mesin jahit. Saya pernah menjadi juruhebah sambilan semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sebenarnya saya sudah lama berminat sebagai penyampai radio. Tetapi masih belum ada peluang, cuma sekarang ada kesempatan. Tapi jangan anggap saya mahu menjadi deejay kerana mengejar populariti,” kata Shaz yang meminati penyiaran sejak di bangku sekolah lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul, berharap peluang yang diberikan kepada deejay muda seperti Shaz menjadi medan terbaik bagi Shaz sekaligus dapat memenuhi hasrat pendengar di Hotfm khususnya di Kelantan.

“Dengan adanya stesen HotFM di Kota Bharu, ia memenuhi kehendak pendengar sekaligus mengukuhkan jenama stesen radio ini bersama beberapa deejay muda,” kata Seelan.

Keterangan gambar:

SHAZ: Janji hiburkan pendengar

CERIA: Dari kiri, Shaz, Farid, Fizie dan Renny, menjadi tunggak HotFM Kelate.

Oleh ZAINI ZAA/Warta Perdana/Hatta_Sanie/Berita21