Saehu Wakil Tunggal Indonesia Juara Ketiga Maharaja Lawak Mega 2011


Shah Alam, Selangor – Berita21: Kumpulan tunggal daripada Indonesia, Saehu melahirkan rasa terkejut apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) akhir yang berlangsung di Stadium Malawati, malam Jumat lalu.

Saehu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan sebuah trofi selepas sembilan minggu bertanding.

Salah seorang ahli kumpulan ini, Bocil atau nama sebenarnya, Muhammad Abdi Zein Bancin, 28, berkata mereka tidak menyangka akan kekal sehingga ke grand final kerana tidak pernah meletakkan sebarang harapan tinggi dalam pertandingan ini.

Bocil bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan penggundi serta berpuas hati dengan persembahan terbaik buat peminat mereka.

“Walaupun terkejut tetapi kami rasa bersyukur kepada Allah kerana memberikan rezeki kepada kami dalam pertandingan ini dan nyata usaha kami membuahkan hasil.

“Sokongan daripada peminat di Malaysia juga amat memberangsangkan dan kami cukup terharu,” katanya.

Dalam pada itu, anggota Saehu berjanji akan terus berulang alik ke Kuala Lumpur selepas tamat program MLM kerana ingin membina nama di sini sebagai artis.

Menurut mereka LAGI, peluang menyertai MLM telah membuka ruang untuk mencipta nama di sini selain dapat menghiburkan peminat yang disifatkan sebagai banyak memberi sokongan kepada mereka.

“Saban minggu kami terkejut dengan peminat yang hadir ke dewan persembahan dengan membawa sepanduk dan menjerit nama kami. Ia adalah pengalaman yang cukup manis.

“Sudah tentu kami akan merindukan program MLM dan pasti kembali ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan peminat,” katanya.

Anggota Saehu terdiri daripada Eko atau nama sebenarnya, Eko Sugiyantom 27, berasal dari Magelang, Bocil atau nama sebenarnya, Muhammad Abdi Zein Bancin, 28, berasal dari Aceh Singkil, bekerjaya sebagai penyiar radio (deejay) dan Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 23, berasal dari Bandung, seorang pelakon dan pengacara terkenal di Indonesia.

Pada malam tersebut Osbon yang dianggotai oleh Mohd Yusof Abdul Hamid (Os) dan Sharizan Ahmad (Abon) dinobatkan sebagai juara pertama MLM 2011, melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik) dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Bagaimanapun, kumpulan Syok yang dianggotai oleh Ifa Raziah, Suhaimi Yusof dan Mohd Arif Shamsudin terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat. Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri dan selebihnya undian penonton di rumah.

Juri tetap terdiri daripada Datuk Redzuawan Ismail (chef Wan), Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan dan juri undangan pelakon Aaron Aziz.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani.

MLM disertai 48 pelawak otai termasuk dari negara jiran, Indonesia dan Singapura.

Mereka ialah kumpulan Boboi, Pimai, Hiro, Anje, Osbon, Rap, Comel, Lanun, Gebu, Syok, Bawel, Saehu, Caer dan dua peserta solo, Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid.

MLM yang dihoskan pengacara AC Mizal, bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Warna setiap Jumaat, jam 10.00 malam menerusi saluran Astro Warna (Saluran 132) sejak 30 Oktober lalu.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21