Arja Lee Ingin Adegan Romantis


Malaysia – Berita21: SEJAK mendapat kritikan pedas daripada peminat mengenai watak lelaki gay dalam filem pertamanya, …Dalam Botol, pelakon muda, Arja Lee betul-betul serik.
“Tak sanggup lagi saya lakonkan watak seperti lagi selepas ini,” keluhnya.
Katanya, kalau diberikan watak seperti itulagi selepas ini dia akan tolak kerana dia tgidak sanggup mencipta nama dengan cara negatif.
Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, 28, mencipta nama selepas terpilih memegang dua watak iaitu Rubidin dan Ruby dalam filem kontroversi itu arahan Khir Rahman.
Pelakon berusia 28 tahun kelahiran Kuala Lumpur ini sebenarnya mengidamkan  watak lebih serius dan romantik.
“Saya inginkan watak yang serius, romantik atau adiwira kerana ia dekat dengan jiwa saya. Filem … Dalam Botol adalah filem percubaan dan terakhir saya.
“Selepas ini saya akan teruskan langkah kedua saya dalam industri lakonan dengan lebih berhati-hati demi menjaga nama daripada diaibkan lagi,” katanya.
Atas alasan ini, Arja yang pernah membintang drama Alahai Anak Omak dan Ku Lagu Cinta Bisu tekad akan menolak tawaran memegang watak seperti itu pada masa hadapan.
Penuntut jurusan Seni Persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini  juga bertekad tidak mahu namanya dikenali dengan cara yang negatif.
“Saya berharap diberi peluang memegang watak berbeza, sekaligus membersihkan nama saya di persada lakonan,” kata pelakon filem Hantu Bonceng ini.
Walaupun gagal dalam pencalonan bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), baru-baru ini, namun Arja menganggap ia penghargaan besar buat dirinya.
Mengulas lakonannya dalam filem Hantu Bonceng, Arja menganggap filem ini banyak membantu dan membersihkan namanya serta melakonkan watak ini dengan berjaya.
Dalam perkembangan lain, Arja yang pernah berlakon teater Puteri Gunung Ledang, Mahsuri dan Kaki Blues kini sedang menumpukan perhatian pada pengajiannya sehingga Jun tahun depan dan akan kembali  aktif dalam bidang lakonan selepas itu.

“Selepas Jun tahun hadapan nanti saya akan kembali semula ke lokasi drama TV dan filem berbekalkan ilmu lakonan yang betul,” katanya.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21
Iklan