HANIS JEMU MENUNGGU


Malaysia – Berita21: DUA tahun menunggu membuat pelakon baru tinggi lampai, Tengku Nor Hanis Tengku Shariman mengaku jemu menanti tayangan filem Hantu Bukit Cina di pawagam.

Malah, hasratnya melihat filem pertama lakonannya itu ditayangkan di pawagam kini hanya tinggal harapan semata-mata.

Filem arahan Liza Ismail dan TS Jefry itu turut dibintangi pelakon popular seperti Gambit, Fazurina, Fauziah Ghous, Emelda Jovinia Jusmin, Kamarool Haji Yusoff dan ramai lagi.

“Saya dah tak kisah filem itu ditayang atau tidak, itu tak penting lagi.

“Apa yang boleh saya katakan saya temui kepuasan dengan komitmen sebagai pelakon filem ini kerana saya sudah melakukan dengan baik,” kata Nor Hanis ketika ditemui di majlis pelancaran drama Antara Garisan di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Menyentuh isu dia dikatakan serik berlakon filem pada masa hadapan, Nor Hanis menolak dakwaan itu sekeras-kerasnya kerana sifat itu tidak pernah wujud dalam dirinya.

Sebaliknya pelakon drama Kasih Alia ini menganggap apa yang berlaku itu satu cabaran dan sedia berlakon jika ada tawaran memanggilnya ke lokasi.

“Saya memang minat berlakon sejak dulu lagi. Saya bersyukur kerana keluarga merestui kerjaya seni saya.

“Walaupun kurang mendapat pendedahan namun saya berbangga kerana berpeluang berlakon di samping artis berpengalaman seperti Eman Manan, Elly Suriati, Shiela Mambo dan ramai lagi.

“Mereka tidak kedekut memberi tunjuk ajar dan membimbing saya,” katanya yang sudah membintangi lebih 11s drama TV termasuklah drama Uri, Duhai Bonda, Selagi Masih Ada dan sebagainya.

Anak kedua dari enam beradik ini bertekad menghadapi kedatangan 2012 dengan azam tidak mahu mengulangi kesalahan jalan raya seperti memandu kereta tanpa lesen.

Hanis yang berazam kembali semula ke kolej menyambung pengajiannya dalam jurusan undang-undang, secara jujur mengaku pernah ditahan polis beberapa kali semasa memandu dalam sekatan jalan raya sebelum ini.

Dia yang bakal menyambut ulang tahun ke-21 Mei ini, berikrar akan berusaha mendapatkan lesen memandu secepat mungkin demi mematuhi undang-undang jalan raya.

Nor Hanis yang mengidam watak mencabar seperti wanita teranianya dan jahat, juga mengakui berhadapan dengan kemunculan ramai pelakon baru yang berbakat dan cantik.

“Saya sedar semakin ramai pelakon baru berbakat dan memiliki imej lengkap muncul di persada drama TV.

“Bagaimanapun saya tak bimbang kerana setiap orang mempunyai kemampuan tersendiri.

“Lagi pun saya percaya kepada bakat yang ada di dalam diri saya selain kelebihan lain.

“Insya-Allah, peluang berlakon setakat ini tidak pernah surut. Saya percaya pada rezeki Allah,” kata pelakon drama Cinta Sate yang disiarkan di TV, beberapa tahun lalu.

Foto: SUHAIZUL IZHAR ISMAIL

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21