Adrea Ingin Jadi Pembunuh Bayaran


Malaysia – Berita21: Pelakon dan model iklan TV, Adrea Abdullah mempunyai minat agak pelik.

Jika diberi pilihan dia mahu melakonkan watak lebih mencabar dalam filem berbentuk penyiasatan seperti menjadi spy atau pembunuh upahan.

Adrea, 34, anak kelahiran negeri Che Wan Kembang ini berharap tahun baru 2012 membawa banyak rezeki kepadanya berlakon lebih banyak filem.

Pemilik nama sebenar, Nik Adrea Nik Abdullah ini berkahwin dengan pelakon dan pemuzik, Al Fahar Abd Rahman, kini gembira dan bahagia di samping anak tunggal berusia enam tahun.

“Tahun depan, dia akan memasuki Tahun Satu di Sekolah Integrasi Subang,” kata Adrea, teruja melihat anaknya melangkah ke alam persekolahan.

Walaupun sudah 10 tahun bergelar pelakon namun Adrea mengaku masih banyak perlu dipelajarinya, termasuk mencapai impian memegang watak lebih lasak sebagai pembunuh upahan.

“Memang saya mahu kelainan dari watak yang pernah saya hidupkan. Saya ingin jadi spy atau pengintip, kalau tak pun sebagai pembunuh upahan. Bagi saya lebih mencabar lebih bagus kerana ia boleh menguji bakat kita dalam lakonan. Biarlah orang kenal saya menerusi bakat, bukannya glamor kerana gosip dan kontroversi. Saya mahu jadi peneroka dan merasai watak berbeza, barulah tidak ‘stereotaip,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Antara Garisan, baru-baru ini.

Walaupun nama tidak segah pelakon popular lain, tetapi dalam deretan drama lakonannya, Adrea pernah membawa watak utama seperti dalam drama bersiri Pak Kaduk (TV2), telemovie Bila Merpati Terbang Malam dan filem Abuya sebagai watak perempuan Siam dari Pattani.

Pemegang Ijazah Seni Lukis (Pengiklanan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah muncul dalam beberapa drama, antaranya Kasihnya Umairah, Fatimah Juling, Mahligai Itu Milikku, Wira Padang Pasir, Hotel Mania, Rafael, Front Page, Dihujung Kemarau, The Promise, Mujahada, Zuriat Terakhir (Dilema Wanita), Duyung (Suara-suara pita), Papan, Phobia, Meniti Senja, CUT, Mama Paparazi, Rendang Perantau, Asmara Kanun, Bougainvilla Di Tepi Jalan dan beberapa filem lain sebagai pembantu iaitu filem CE1, 2 Alam, Sifu dan Tonga dan Shhhh The Movie.

“Namun pengalaman manis sebagai hos TV seperti Selera Etnik dan Teman-Teman di stesen TV Al-Hijrah, antara sebab saya rindu memikul tanggung jawab ini lagi,” katanya yang pernah dicalonkan dalam sebagai Aktres Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysi Ke-23 menerusi filem 2 ALAM.

Selain berlakon Adrea mengisi masa terluang dengan menulis puisi, melukis dan menyertai aktiviti lasak seperti mendaki gunung pada hujung minggu jika tiada penggambaran.

“Selain berlakon, saya juga terbabit sebagai suara latar untuk dokumentari 13 episod berjudul Menyusur Adat,” katanya yang memegang watak Minah Rockers dalam filem Siti Suka Ramli Sarip.

Sayangnya filem tersebut tidak dapat ditayangkan di pawagam kerana beberapa faktor tidak dapat dielak.

“Saya ada terima tawaran dari Afdlin Shauki untuk filem 3 Hari. Sedihnya saya terpaksa menolak kerana komitmen lain. Nampaknya, tidak ada rezeki untuk saya bekerja dengannya,” kata Adrea yang mempunyai pengalaman menulis skrip filem.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21