Hidup Ean Hanya Untuk Radio


Malaysia – Berita21: BAGI Tengku Mohd Ean Nasrun atau Ean Nasrun, 31, kehidupannya lebih ceria apabila yang dihajati tercapai. Malah ia terasa lengkap apabila mendapat restu keluarga.

Inilah fasa gembira bagi Ean selama enam tahun bergelar deejay Hitz.FM, stesen radio berbahasa Inggeris No 1 di Malaysia ketika ini. Anak sulung yang gemar aktiviti lasak ini mengakui pengalaman dalam bidang penyiaran radio antara tugas terbaik pernah dilalui di dalam hidupnya.

“Saya gembira kerana impian menjadi penyampai radio menjadi realiti. Ia lebih manis lagi apabila mendapat restu dan sokongan keluarga. Saya cukup bertuah dengan fasa kehidupan yang saya lalui. Jika ditanya apakah perkara terbaik yang saya miliki, ia adalah kebahagiaan dan keindahan dalam hidup sejak kecil.

“Hidup saya lengkap dengan kasih sayang keluarga dan memiliki apa sahaja yang diingini, malah saya melakukan perkara yang begitu saya cintai iaitu penyampai radio. Apa yang lebih manis lagi apabila apa yang saya lakukan itu mendapat sokongan padu keluarga dan kasih sayang para pendengar.

“Saya sedar menjadi penyampai radio, khususnya bagi segmen pagi yang didengari para pendengar ketika keluar bekerja penuh dengan cabaran. Namun, semakin saya mendalami bidang ini, hati dan fokus saya semakin menebal sehingga saya hanya mahu tumpukan pada bidang ini sahaja pada waktu ini,” katanya.

Tidak keseorangan mengendalikan segmen Hitz.fm Morning Crew yang bermula jam 6 pagi, Ean turut ditemani rakan karibnya, deejay JJ. Menurut Ean, tugasan di konti radio bukan semudah disangka, terutama bagi penyampai segmen pagi. Selain pengorbanan waktu yang memerlukan bangun seawal jam 4.30 pagi dan tidur awal, DJ juga perlu sentiasa kreatif ketika bertugas.

“Selepas tiga tahun mengendalikan segmen pagi, pelbagai cabaran yang saya hadapi semakin mengukuhkan tumpuan dan perasaan sayang pada bidang radio. Mujurlah kami mempunyai pasukan berpengalaman yang sentiasa menitikberatkan soal kandungan program dan gaya penyampaian agar seiring dengan keadaan dan selera semasa,” katanya.

Alasan cintakan karier sebagai deejay membuat Ean sanggup menolak bidang pengacaraan TV buat masa ini.

“Sebab itu, saya selesa mengetepikan pengacaraan di televisyen kerana ingin memberikan 100 peratus fokus pada penyampaian radio. Mengacara di televisyen dan menjadi penyampai radio adalah berbeza. Jika di televisyen, tumpuan penonton boleh dialihkan pada visual tetapi untuk menarik perhatian pendengar, seseorang penyampai itu perlu kreatif, lincah, bijak dan teliti pada setiap saat,” katanya.

Demi memastikan dapat memberi yang terbaik dan bekerja penuh tenaga serta tumpuan, Ean menyertai aktiviti sukan bertinju dan seni mempertahankan diri.

“Sejak remaja lagi saya memang obses pada aktiviti fizikal yang lasak seperti sukan tinju dan seni mempertahankan diri. Kegilaan saya terhadap aktiviti fizikal yang lasak ini bermula sejak saya menonton filem Rocky dan pertandingan Ultimate Fighting Champisonship (UFC) . Aktiviti-aktiviti fizikal ini menjadikan diri saya semakin sihat dan aktif,” katanya yang turut menyertai seni mempertahan diri seperti silat, tinju dan jujitsu.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21