Langkah Pertama Taxi Pikat Pendengar


Malaysia – Berita21: KUMPULAN Taxi, juara program pencarian kugiran, Twisties Bingit musim ketiga, kini bangga dengan kemunculan dalam album sulung mereka berjudul Langkah Pertama. Lima lagu yang termuat dalam album ini mampu memikat pendengar dan mempunyai kekuatan tersendiri.

Sekalipun kumpulan yang dianggotai oleh empat anak muda, Cidin (vokalis), Wan (gitaris) dan pasangan adik-beradik iaitu Suki (bass) dan Amin (drum) belum dikenali ramai, potensi mereka terserlah dalam penghasilan lagu-lagu yang segar dan kontemporari, seiring dengan selera muzik semasa.

Album ini membuka tirai menerusi lagu Warna yang turut dijadikan lagu tema produk makanan ringan Twisties. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh pemain gitar, Iwan ini membangkitkan suasana segar dan ceria menerusi paduan genre alternatif rock yang diwarnai bunyi siulan dan kicauan burung.

Beralih ke trek kedua iaitu Ku Emosi, lagu rancak ini mempunyai tarikan tersendiri dengan alunan gitar dan drum yang penuh jiwa dan rasa.

Bagi memperlahankan tempo, Taxi mempertaruhkan pula sebuah lagu balada yang mengasyikkan menerusi lagu ketiga yang bertajuk Mimpi Semalam.

Walaupun lagu ciptaan sepenuhnya Cidin ini menekankan kisah cinta dan perhubungan, susunan melodi yang menarik itu menjadi kekuatan trek ini.

Album ini juga memuatkan lagu ciptaan penyanyi dan komposer terkenal M. Nasir iaitu Ghazal Untuk Rabiah yang pernah dipopularkan penyanyi itu bersama Jamal Abdillah. Menariknya, versi Taxi ini kedengaran meyakinkan dan tersendiri.

Untuk memberikan kelainan, Taxi menyelitkan elemen rock dalam susunan muzik dan stail nyanyian Cidin yang kontemporari dan berjiwa muda.

Pada trek terakhir pula, lagu Angkubah yang menjadi single pertama kumpulan ini boleh disifatkan sebagai sebuah lagu pop rock yang menarik.

Seperkara yang turut layak dipuji adalah rekaan kulit albumnya yang ringkas, muda dan moden, bersesuaian dengan konsep pop rock yang diketengahkan oleh Taxi.

Sayangnya, jika mereka turut menyelitkan nama setiap anggota kumpulan ini pada gambar-gambar kulit album ini, pasti ia menjadi lebih baik sebagai panduan kepada pendengar yang belum mengenali mereka lagi.

Bagaimanapun, untuk percubaan sulung, Langkah Pertama memperlihatkan potensi dan peluang untuk kugiran ini pergi jauh dalam dunia muzik tanah air. Album Taxi diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21