Hanez Tinggalkan Mengajar Demi Kejar Impian


Watak ibu tiri yang dilakonkannya dalam drama bersiri Bunga April membuat penonton cukup benci pada bintang baru, Hanez Suraya Abdul Aziz.

Namun, sebagai pelakon Suraya berkata, dia perlu menghayati watak itu dengan sepenuh hati walaupun kehidupan sebenarnya di luar tidak begitu. Suraya, 25, tidak menyesal dibenci peminat kerana merasa puas memilih bidang seni yang diminatinya. Disebabkan minat itulah dia sanggup berhenti belajar di sebuah kolej swasta demi mengejar impian menjadi pelakon terkenal.

“Emak memahami minat saya dalam bidang lakonan dan mahu saya buat pilihan sama ada meneruskan pengajian atau berhenti. Memandangkan peluang berlakon sudah terbentang depan mata, saya buat keputusan berlakon sepenuh masa,” katanya.

Bintang seni Suraya bermula dengan iklan komersial, antaranya Digi dan Meps Cash, manajkala penampilan sulungnya dalam filem pula menerusi Bicara Hati arahan Datin Rosnani Jamil. Dengan tawaran berlakon silih berganti sekarang Suraya jarang dapat memperaga dan dunia pengiklanan juga terpaksa ditinggalkan.

“Namun, pengorbanan saya itu tidak sia-sia kerana kemunculan di persada seni semakin mendapat perhatian. Disebabkan itu juga saya tidak berhasrat menyambung pelajaran, sebaliknya mahu beri sepenuh tumpuan dalam lakonan.

“Bukan tidak minat belajar lagi, tetapi kalau asyik cuti saja tentu membazir wang kerana belajar di kolej bayarannya mahal. Insya-Allah, jika rajin berusaha dalam bidang apa pun pasti kita berjaya. Saya berjanji akan buat yang terbaik dalam bidang lakonan kerana banyak perkara terpaksa dikorbankan demi meneruskan hasrat menjadi anak seni,” katanya.

Suraya kini tinggal bersendirian di Kuala Lumpur kerana ibu bapa dan dua adiknya menetap di Seremban, Negeri Sembilan mengusahakan kedai perabot jati.

“Di samping berlakon saya berminat meneruskan perniagaan keluarga dan apabila cukup modal saya akan membuka cawangan perabot jati di KL. Perniagaan itu akan diusahakan bersama adik saya, Hanez Safira yang sedang menunggu keputusan SPM.

“Walaupun wanita begitu sinonim dengan perniagaan berasaskan kecantikan seperti butik, salun dan mengeluarkan produk kecantikan serta kesihatan tetapi minat saya tiada ke arah itu. Lebih baik saya teruskan perniagaan keluarga sementelah lagi saya boleh belajar selok-belok perniagaan itu daripada emak dan ayah,” katanya.

Suraya pernah berlakon drama Cinta Dalam Sebiji Durian. Drama lain yang turut dibintanginya ialah Ezora, Kain Ketat Isabella, Cahaya Dari Neraka, Suratan Terakhir dan Semanis Janji yang diterbitkan sebanyak 26 episod.

“Saya masih baru dan banyak perkara di belakang tabir dunia lakonan yang saya tidak tahu. Bimbang juga tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman terjebak pula dalam gejala tidak baik,” ujarnya.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21

One thought on “Hanez Tinggalkan Mengajar Demi Kejar Impian

Komentar ditutup.