Jue Aziz Sakit Bukan Karena Perbuatan Orang


Malaysia – Berita21: PELAKON popular, Jue Aziz atau nama sebenarnya Zaliana Abd Aziz, 29, mencetus kontroversi baru-baru ini apabila menghilangkan diri daripada menjalani latihan teater Se-Merah Padi.

Pementasan teater selama seminggu di Istana Budaya, Kuala Lumpur ini, turut dibarisi pelakon hebat seperti Khir Rahman, Fauzi Nawawi, Opie Zami dan ramai lagi.

Jue yang membawa watak utama sebagai Dara menimbulkan masalah kepada produksi kerana kehilangannya menjejaskan kelancaran latihan. Ekoran ketiadaannya pelbagai andaian dibuat, termasuk ada pihak mengatakan Jue tidak berdisiplin. Namun dakwaan mengatakan dia sakit akibat terkena buatan orang amat mengguris hatinya.

Ikuti penjelasan Jue mengenai perkara ini.

“SAYA menolak sekeras-kerasnya dakwaan dan tuduhan mengatakan saya sakit akibat terkena buatan orang. Ekoran berita tidak benar itu menyebabkan nama saya hampir digugurkan dari senarai pelakon teater Se-Merah Padi.

Ketidakhadiran saya dalam menjalani latihan selama empat hari sebelum ini disebabkan masalah kesihatan. Sebenarnya saya telah maklumkan kepada pihak produksi. Mungkin terdapat salah faham pada masa itu membuatkan saya dianggap tidak berdisiplin.

Saya menafikan dakwaan kononnya saya sakit akibat perbuatan orang, sebenarnya badan saya lemah gara-gara terlalu fokus dengan latihan teater. Tambah pula banyak babak yang memerlukan saya berlawan dan bermain emosi. Disebabkan itu saya minta doktor berikan ubat tidur bagi membolehkan saya mendapat rehat yang cukup.

Saya juga menafikan penundaan teater itu selama dua hari tiada kaitan dengan kehilangan saya. Saya kesal segelintir pihak yang membuat andaian sendiri tentang diri saya. Pelik, entah dari mana sumber mereka dapat sehingga mengatakan saya tidak berdisiplin. Pementasan itu ditunda bukan kerana saya, tetapi terdapat masalah teknikal.

Saya beri komitmen sepenuhnya terhadap teater ini. Hanya kerana saya tidak hadir ke latihan untuk beberapa hari akibat tidak sihat, saya diberi pandangan yang negatif. Saya akui tidak melayan sebarang panggilan termasuk dari media supaya tidak mengganggu tumpuan dengan pertanyaan berbaur negatif tentang diri saya.

Jika tidak, tahap kesihatan saya pastinya tidak seimbang dan ini membuatkan saya kurang penghayatan pada hari pementasan nanti. Saya juga sedar penerbit teater ini, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno kesal dengan sikap saya. Tapi saya tak boleh buat apa-apa. Ini masalah kesihatan.

Sekalipun menggunakan khidmat pelakon lain bagi menggantikan saya, itu saya tak peduli. Bagaimanapun, saya muncul dua hari sebelum pementasan itu untuk meneruskan latihan. Walaupun watak Dara sudah ada pengganti namun kemunculan saya di pentas tetap diperlukan tetapi secara bergilir-gilirlah.

Apapun saya tetap gembira teater Se-Merah Padi dapat dipentaskan dengan jayanya dan bersyukur kerana saya masih boleh menghayati watak Dara sekalipun dalam keadaan kesihatan yang masih belum cergas sepenuhnya.”

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21
Iklan