Reza Mohamed Mundur Dari Penyiar Radio


KEPUTUSAN penyampai popular, Reza Mohamed meninggalkan EraFM Disember lalu mengejutkan peminatnya. Ramai tidak menduga tindakan ini selepas lima tahun Reza mencipta nama sebagai deejay radio. Kini kerusinya diduduki Zahid, juara Akademi Fantasia (AF) musim kedua selepas berjaya memenuhi kreteria dalam uji bakat sebagai deejay.

Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran, mengesahkan pengunduran Reza dan mengumumkan Zahid AF sebagai pengganti. Pada masa sama Era masih belum menutup pintu jika Reza ingin kembali semula.

“Pihak kami menghormati keputusan Reza dan setakat ini kami tiada sebarang masalah dengannya. Andai kata dia ingin kembali kepada Era, pihak kami mengalu-alukan kedatangannya,” kata Nazri.

Reza mengakui keputusannya meninggalkan stesen radio itu Disember lalu kerana mahu berehat, namun dia tidak menolak mempunyai sedikit masalah apabila ada pihak tertentu kurang senang dengannya.

“Semua orang menghadapi masalah di tempat kerja, tetapi saya enggan ulas perkara ini mengapa saya keputusan itu dibuat. Tipulah kalau tiada masalah di tempat kita bekerja. Paling tidak pun ada orang lain sengaja mencari masalah dengan kita. Apa-apa pun, biarlah itu menjadi rahsia saya.

“Keputusan meninggalkan Era FM saya buat kerana mahu berehat seketika. Lagipun sekarang ini saya sibuk menguruskan Patung Studio, sebuah studio tarian yang ditubuhkan di bawah syarikat saya sendiri, Rezakey Management. Pada masa sama saya turut memenuhi undangan menjadi pengacara majlis,” katanya.

Menyentuh tindakannya itu ada kaitan dengan tawaran beberapa stesen radio, Reza enggan mengulas, tetapi menjelaskan tempoh rehatnya selepas menamatkan perkhidmatan di Era tidaklah terlalu lama. Reza mengakui sepanjang lima tahun bertugas di Era banyak kenangan dan pengalaman yang dipelajarinya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang pernah bekerjasama dengan saya di AMP Radio Networks. Siapa tak sayang ERA? Berat juga hati nak tinggalkan stesen yang telah menjadi penyumbang besar kepada karier saya.

“Ramai tak tahu tentang pemergian saya ini. Para peminat sangka saya masih bekerja dan sedang bercuti. Ada yang rindu, sedih dan tentunya ada juga yang sedang tersenyum sambil bertepuk tangan,” katanya sinis.

Bagaimanapun, Reza yang juga pengacara Kelab Pop percaya, ketiadaannya di Era tidak bermakna dia juga akan kehilangan peminat.

“Saya tidak menyesal dengan keputusan ini. Lagipun saya ingin melebarkan karier seni menjadi seorang penghibur yang bagus. Ingin saya ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah banyak mengajar saya iaitu Nila Kurnia, Zainal Alam Kadir, Aznil Nawawi, Nana Mahazan dan ramai lagi,” katanya.

Iklan