Film Ummi Aminah Ikut KLIS 2012 DI Kuala Lumpur, Malaysia


Malaysia – Berita21: SUTRADARA Aditya Gumay ceria dapat menyertai Anugerah Festival Filem Pendek Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIS) 2012, turut membawa filem terbaru arahannya, berjudul Ummi Aminah.

Martias Mohd Ali

Kehadiran beliau dijangka ditemani beberapa pengarah filem lain termasuk penulis skrip serta wartawan akan hadir sebagai memberi sokongan kepada acara ini nanti.

KLIS yang akan berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selama tiga hari, bermula 30 Januari sehingga 1 Februari 2012.

Pastinya ramai penggiat seni dan peminat filem tanah air, menantikan tayangan filem Ummi Aminah ini yang akan diadakan di Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menariknya, acara julung kali anjuran KLIS Network dengan kerjasama DBKL dan mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ini berjaya menarik 1,132 penyertaan dari seluruh dunia.

Jumlah penyertaan terbesar dalam sejarah penganjuran acara anugerah tempatan ini suatu yang boleh dibanggakan sebagai pencapaian awal mempromosikan Malaysia sebagai penganjur bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf karya terbaik antara 75 negara yang menghantar penyertaan.

“Menariknya, karyawan Indonesia ini akan mengadakan Seminar Kerjasama Perfileman Malaysia dan Indonesia bertempat di Panggung Bandaraya pada 31 Januari ini jam 3 petang.

“Buat masa ini, kami masih mencari penaja untuk membantu daripada aspek hadiah kepada pemenang. Kami mendapat berita baik, Pelancongan Malaysia berminat membantu acara ini dan mereka percaya menerusi KLIS, ia membuka mata ramai pihak antarabangsa untuk datang melancong ke sini.

“Panasonic juga sudi menaja hadiah kamera definisi tinggi (HD) kepada pemenang berupa enam kamera berharga RM3,000 manakala satu kamera RM12,000. Di samping itu, promosi KLIS turut menarik perhatian ramai pihak luar seperti dari Poland, Iran dan Bulgaria mahu ambil bahagian sebagai sukarelawan.

“Begitu juga, sebanyak 13 negara berminat menghantar wakil media mereka untuk membuat liputan sepanjang acara ini berlangsung antaranya Indonesia, Filipina, Perancis dan UK,” kata Pengarah KLIS, Martias Mohd Ali.

Pemilihan karya yang bertanding diadili 16 juri profesional turut menyaksikan 50 karya tempatan mencuba nasib.

Filem Ummi Aminah dibintangi oleh, Nani Wijaya sebagai Ummi Aminah, Gatot Brajamusti, Yessy Gusman, Cahya Kamila, Budi Chaerul, Rasyid Karim, Paramitha Rusadi, Ali Zainal, Genta Windi, Ruben Onsu, Zee Zee Shahab dan banyak pemeran pembantu.

Ummi Aminah mengisahkan Ustazah Ummi Aminah, lakonan Nani Wijaya yang mempunyai ribuan peminat dan mendapat jolokan sebagai ustazah idola.

Bagaimanapun, Ummi sebagai manusia biasa juga berhadapan dengan konflik kekeluargaan dan sedaya upaya cuba mengatasi masalah yang dihadapi keluarganya. Apakah Ummi berjaya menyelesaikannya atau memilih berundur diri sebagai penceramah?

Oleh ZAINI ZAA /WARTA JENAKA /HATTA SANIE /BERITA21

Keterangan gambar:

1. Martias Mohd Ali, Pengarah KLIS 2012

2. Sutradara Aditya Gumay

3. Poster filem Ummi Aminah

4. Barisan pelakon filem Ummi Aminah. Dari kiri, Rasyid Karim Nani Wijaya Paramitha Rusady Revalina S Temat Zee Zee Shahab dan Yessy Gusman

Iklan