Farah Ingin Berdakwah Lewat Lagu


MALAYSIA – BERITA 21: SETELAH puas merantau ke beberapa negara Asean memperkenalkan pelbagai sajian negara serantau dalam program Rasa Halal, akhirnya Farah Diana Annuar merasa gian untuk kembali menyanyi.

Bintang yang dilahirkan melalui program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini sudah tidak sabar memasuki studio merakamkan lagu-lagu dakwah yang santai sesuai dengan citarasa remaja.

Semua ini bermula apabila dia mendapat peluang merakamkan lagu Warisan Hawa ciptaan Edry Abdul Halim untuk program Ustazah Pilihan baru-baru ini.

“Bila diberi peluang menyanyikan lagu tema program Ustazah Pilihan itu terus timbul keinginan untuk kembali merakamkan album.

“Lagipun ada peminat mahu saya kembali menyanyi selepas lama tidak kedengaran lagu baru saya di corong radio,” katanya.

Farah yang mendirikan rumah tangga dengan Johan Johari, Julai lalu mengakui lebih banyak beri fokus pada tugas pengacaraan daripada seni suara.

Untuk album terbaru nanti Farah ingin merakamkan lagu-lagu dakwah yang santai untuk menarik lebih banyak golongan belia mendengar lagu berunsur keagamaan.

“Saya ingin mendapatkan khidmat komposer terkenal seperti Yasin dan Sham Kamikaze.

“Saya sudah lama berminat dengan hasil kerja Yasin dan Sham, jika dapat bekerja dengan mereka satu peluang besar untuk saya,” katanya.

Sesuai dengan status sebagai isteri, Farah tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon kerana merasakan tidak sesuai terbabit dalam bidang lakonan.

Dia mengakui lebih selesa menggalas tanggungjawab sebagai penyanyi dan pengacara.

Farah yang turut gembira kerana program Rasa Halal Laos dan Thailand di Astro Oasis, berjaya mendapat sambutan ramai.

Dia kini lebih matang mengendalikan program itu yang kini masuk musim keenam, malah Farah mengakui program itu banyak membantunya mengasah bakat sebagai pengacara.

“Saya dapati mengendalikan sesebuah program tidak semudah yang disangka, tetapi melalui pengalaman ia banyak membantu saya memperbaiki mutu persembahan.

“Tambahan pula program Rasa Halal memerlukan saya banyak berinteraksi dengan masyarakat di luar negara selain menggambarkan keadaan setempat, makanan dan budayanya,” katanya lagi.

Menyentuh hidup berkeluarga, Farah berharap dapat melupakan sejenak karier seni dan mahu berehat sementara waktu untuk menumpukan kepada keluarga.

“Sekarang saya menetap di Pulau Pinang dan berulang alik ke Kuala Lumpur pada hujung minggu.

“Alhamdulilah, suami memahami dan menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Farah berharap dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat kerana merasakan usianya yang mencecah 26 tahun sesuai melahirkan anak.

Oleh: ZAINI ZAA/Foto: SUHAIZULM IZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA /HATTA SANIE /BERITA 21