Siti Nurhaliza Dan Nicholas Saputra Bakal Main Satu Film


MALAYSIA – BERITA21: SYARIKAT penerbitan filem Indonesia, PT Kentfilms Production yakin diva Datuk Siti Nurhaliza tidak menolak membintangi filem berjudul Kekuatan Cinta.

PT Kentfilms dalam kenyataannya berharap gandingan Siti Nurhaliza dengan pelakon top Indonesia, Nicholas Saputra dalam filem yang akan dimulakan penggambaran tidak lama lagi.

Malah filem ini juga nanti akan ditayangkan serentak di pawagam Indonesia dan Malaysia, pada tahun ini.

Beberapa bintang filem popular dari Malaysia seperti Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema, akan juga diundang berlakon dalam filem itu.

Sementara bintang filem Indonesia, bakal beraksi ialah Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo.

Sutradara Iwan Sardi, yang bakal mengarahkan filem itu, berharap Siti Nurhaliza menimbang tawaran ini.

Pemilihan Datuk Siti Nurhaliza, disebabkan populariti diva ini di Indonesia yang terus diminati sehingga ke hari ini.

Filem Kekuatan Cinta, diadaptasi daripada novel popular tulisan Sastri Y Bakri juga akan menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Malaysia.

Ia mengisahkan kesetiaan seorang isteri kepada suami yang menderita sakit yang akhirnya membawa maut kepada suaminya itu.

Keunikan filem ini ialah pemaparan adegan percintaan antara lelaki Indonesia dengan wanita Malaysia.

Iwan dan Pengarah Utama PT Kentfilms Production, Edy AS sebelumnya mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan, meminta pandangan mengenai kemungkinan menjalinkan kerjasama dalam penerbitan filem itu dengan syarikat penerbitan dan karyawan filem dari Malaysia.

“Saya menyambut baik jika ada syarikat penerbitan filem atau mana-mana pengarah Malaysia yang mahu bekerjasama dengannya untuk menghasilkan filem itu, demi faedah kedua-dua negara,” kata Iwan.

Oleh ZAINI ZAA /WARTA PERDANA /HATTA SANIE /BERITA21
Iklan