Fazrina Sabar Hingga Akhir Tahun


BERBEKALKAN pengalaman mengiringi persembahan Raja Pop, Jamal Abdillah sebagai penyanyi latar baru-baru ini, mencetuskan harapan indah dalam diri Norfazrina Mohd Gani, 20, mencipta nama dalam industri seni.

Lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Azrin, penuntut jurusan vokal tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, pernah mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Bintang Asli RTM, lima tahun lalu. Azrin yang menyampaikan lagu Seri Kedah dan Timang Burung terpaksa akur dengan keputusan juri. Keputusan itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya, malah dijadikan cabaran dalam mencapai cita-cita menjadi penyanyi sepenuh masa selepas tamat belajar nanti.

“Buat masa ini, Azrin mahu beri tumpuan pada pelajaran dan cuma sesekali menerima undangan sebagai penyanyi latar. Itupun setelah mendapat kebenaran dari pihak universiti dan restu keluarga,” kata anak bungsu dari lima beradik ini.

Antara pengalaman sukar dilupakannya ialah menjadi penyanyi latar Jamal Abdillah selain berpeluang mengiringi beberapa artis ikonnya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Aizat dan beberapa penyanyi lain.

“Memang terharu apabila terpilih mengiringi persembahan Raja Pop itu baru-baru ini. Bukan mudah dapat peluang keemasan seperti ini. Inilah kali pertama Azrin muncul sebagai penyanyi latar Raja Pop ini.

“Perasaan gementar dan teruja tak boleh nak bayangkan. Hanya selepas selesai persembahan, barulah Azrin rasa lega sangat,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah muzik.

Anak kelahiran Puchong, Selangor ini satu-satunya ahli keluarga yang menceburi bidang seni berbanding abang dan kakaknya.

“Azrin bersyukur kerana keluarga memahami cita-cita Azrin dan sering mendoakan kejayaan Azrin. Bukan itu sahaja, adik-beradik Azrin turut berbangga mempunyai ahli keluarga yang boleh menyanyi dengan baik dan berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Mengenai hasrat menyertai program realiti seni suara, Azrin mengakui ingin mencuba nasib dalam Mentor, tapi tunggulah sehingga hujung tahun apabila pegajiannya tamat.

“Selepas itu, barulah Azrin fikirkan hasrat itu, Insya-Allah,” katanya.

Oleh ZAINI ZAA /Foto SUHAIZUL AZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA /HATTA SANIE /BERITA21