DJ SU Ingin Punya Pusat Perlindungan Hewan


Malaysia – Berita21: JIKA deejay Ninie, penyampai radio KLfm gemar memelihara ular, deejay Suzana Mohd Shafie dari stesen radio THR Gegar pula suka bermanja dengan monyet.

Pengacara segmen Ceria Pagi ini yang selesa membahasakan dirinya dengan panggilan Su memenuhi masa terluang selepas pulang kerja melayani monyet kesayangannya yang diberi nama Aya.

Kata Su, monyet itu dipeliharanya sejak kecil, namun setelah besar Aya terpaksa dilepaskan ke hutan setahun lalu atas nasihat keluarga kerana haiwan itu semakin agresif.

“Memanglah sedih, tetapi apa boleh buat, demi keselamatan saya terpaksa lepaskan Aya ke hutan. Aya hadiah daripada adik saya. Dia tahu saya memang sukakan haiwan.

Menariknya Aya, ia sangat jinak dan manja dengan saya. Setiap kali saya pulang dari kerja Aya akan tunggu saya di depan pintu rumah.

“Tetapi apabila dah meningkat dewasa Aya semakin agresif. Sebab itu saya terpaksa lepaskannya ke hutan awal tahun lalu setelah mendapat nasihat keluarga,” katanya yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 pada Mac ini.

Anak sulung daripada dua beradik ini juga turut menyimpan hasrat membina pusat perlindungan haiwan suatu hari nanti.

“Jika ada rezeki saya nak buka pusat rawatan haiwan terbiar suatu hari nanti. Sekurang-kurangnya apabila melihat haiwan sakit kembali sembuh, sejuk hati saya,” kata Suzana yang menjadi pasangan serasi bersama deejay Nasa, menyendalikan segmen Ceria Pagi.

Jika tiada program pada hujung minggu Suzana sering meluangkan masa melawat Zoo Negara.

“Bila dapat lihat keindahan alam ciptaan Tuhan jiwa saya tenang,” kata Su yang meminati bidang fotografi.

Su mengaku mendaat kepuasan apabila dapat tangkap gambar yang dikehendakinya.

“Kepuasan ini ditambah lagi apabila dapat melihat telatah haiwan yang bermacam ragam,” katanya yang pernah mengendalikan segmen Hindi Power bersama deejay Andy Hakim selama dua tahun.

Nasihat Suzana kepada pemelihara haiwan supaya memelihara dengan hati yang ikhlas.

“Jagalah haiwan sepenuh hati kerana saya percaya haiwan juga memerlukan kasih sayang secukupnya daripada kita. Layanlah mereka dengan sebaiknya, bukannya sekadar memelihara haiwan semata-mata kerana mengikut trend sahaja,” katanya.

Oleh ZAINI ZAA /WARTA PERDANA /HATTA SANIE /BERITA21