Sakinah Rimas Jadi Anak Emas


Malaysia – Berita21: BINTANG baru, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar betul-betul berang apabila dituduh mendapat layanan istimewa dari pengarah drama TV. Malah gelaran anak emas yang diberikan kepadanya membuatkan pelakon drama bersiri Hotel Mania itu betul-betul rasa rimas.

Sakinah mengulas dakwaan menjadi anak emas kepada pengarah drama berbakat, Michael Ang, yang dianggapnya satu tuduhan yang menyakitkan hatinya.

“Saya tidak pernah dilayan sebagai anak emas. Saya rasa itu tidak betul. Michael bukan sahaja seorang pengarah drama, tetapi juga seperti kawan baik. Dia banyak beri peluang saya dan artis lain bekerja di bawah drama arahannya,” kata Sakinah.

Adik kepada pelakon terkenal, Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahirah (Shira) ini berkata, sebelum bergelar pelakon dia terlebih dahulu mendapat restu keluarga untuk mengikuti jejak dua kakaknya berlakon drama TV.

“Saya bersyukur kerana keluarga menyokong penuh kerjaya sebagai pelakon. Malah ibu turut berikan galakan kepada saya,” katanya.

Sakinah yang baru menyambut ulang tahun ke-22, mengakui meminati watak komedi, namun bersedia menghidupkan watak lain seperti yang pernah dibawanya dalam drama Samson Delaila, Dottie, Langsai dan Mata Ayer.

Dalam perkembangan lain, Sakinah bakal muncul dengan filem Ular arahan Jason Chong. Ketika ini dia baru selesai menjalani penggambaran drama Penjara dan akan ke set drama Di Sebalik Air Mata arahan Michael.

“Alhamdulillahlah, rezeki semakin mencurah-curah dalam dunia lakonan. Sudah pasti saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu Sakinah menafikan bersikap sombong dan enggan melayan peminat yang datang berjumpa untuk mendapatkan autograf.

“Sejujurnya saya tidak berniat berlagak sombong dengan peminat. Malah saya tidak kisah sekiranya kurang dikenali. Walaupun publisiti penting, tetapi saya anggap berlakon sebagai punca rezeki dan bukannya untuk mengejar populariti,” katanya.

Tambah Sakinah, penglibatannya dalam dunia lakonan disebabkan minat dan ingin mencari kepuasan, selain menjadikan bidang ini punca rezekinya.

Oleh ZAINI ZAA/WARTA PERDANA /HATTA SANIE /BERITA21