Shiro Raja Lawak 6 Kebal Dikritik


MALAYSIA – BERITA 21: Kumpulan Shiro yang mendapat kritikan hebat daripada juri terbukti mempunyai pengaruh besar apabila meraih undi terbanyak dari peminat untuk menewaskan 11 peserta lain pada minggu pertama dan kedua program realiti, Raja Lawak musim keenam (RJ6).

Dianggotai dua pemuda dari Johor, Shahrol Azizie Azmi, 27, dan Mohamad Hanaffi Razak, 25, Shiro membuktikan lawak mereka tetap menghiburkan apabila mendapat undian SMS tertinggi dari peminat, mengatasi Kumpulan Selak juga dari Johor.

Walaupun kurang mendapat pujian daripada tiga juri, David Teo, Sheila Rosli dan pelawak Sathia, namun anak didik Cif Kecik kepada Tauke Raja Lawak ini, mempunyai kekuatan tersendiri.

Kalangan peminat menyifatkan komen tiga juri itu kurang memberangsangkan, malah gagal memberi suntikan semangat kepada peserta. Seorang peminat, Shafie Ahmad yang mengirim teguran kepada FB RajaLawak6 menulis: “Semua komen juri langsung tiada kata semangat untuk peserta bagi memperbaiki persembahan.

“Apa yang biasa didengar ialah bagus, baik, teruskan dan akhir sekali pantun dua, tiga kerat yang merapu. Kedudukan juri sekadar melengkapkan pertandingan sahaja.”

Tiga lagi peserta lain yang mendapat asuhan Tauke ialah Kodan, Skema dan Zero. Pengalaman Shahrol berlakon drama Hantu Gigi, Cinta Tampal dan SuperLawak FC, banyak membantu kumpulan Shiro beraksi penuh yakin di depan lensa. Shahrol yang pernah bekerja sambilan sebagai penulis khat batu nesan bukanlah adik kepada pelakon Jep dari Kumpulan Sepah, Juara Raja Lawak musim ketiga seperti yang didakwa di FB.

Shahrol dikatakan mempunyai persamaan dari segi gaya dan percakapan seperti Jep Sepah. Mungkin kerana faktor anggota Shiro memang meminati Kumpulan Sepah turut mempengaruhi penampilan Shiro ketika beraksi di Gelanggang Raja Lawak.

Sementara itu, Tauke sebagai Cif Kecil percaya Shiro mempunyai potensi sebagai pelawak muda tanah air pada masa akan datang.

“Shiro mempunyai kelebihan tersendiri dan saya yakin kumpulan ini akan terus memberi persembahan terbaik kepada penonton Raja Lawak musim keenam ini,” kata Tauke.

Beliau mengaku memperkenalkan Shahrol dalam drama TV Hantu Gigi, Cinta Tampal dan SuperLawak FC.

Oleh ZAINI ZAA /Foto SUHAIZUL AZHAR ISMAIL /HATTA SANIE /BERITA 21