9 Tahun Beto Masih Bertahan Dijalur Seni


MALAYSIA – BERITA21: Sekalipun sudah sembilan tahun bertapak dalam industri lakonan, namun Beto Kusyairy tetap bersyukur kerana masih menerima tawaran membintangi drama TV dan filem.
Beto atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman, 31, mula menjadi buah mulut peminat apabila muncul dalam drama bersiri Juvana di TV3 pada tahun lalu.
“Saya bersyukur kerana drama tersebut disiarkan pada waktu puncak, antara faktor lakonan saya dikenali ramai,” kata Beto, nama yang sering digunakan sejak di bangku sekolah menengah lagi.
Mengakui bukan mudah membina kerjaya sebagai anak seni, Beto memulakan karier awal sebagai pelakon pembantu menerusi drama TV Tersasar Di JalanMu.
“Saya berterima kasih kerana mendapat bimbingan Erma Fatima menghayati watak dalam drama itu dengan berkesan,” kata  graduan diploma dalam jurusan kewartawanan dari Univeriti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular ini juga terkejut apabila namanya dicalonkan bersama  Aeril Zafril, Awi Rafael dan Hazama.
“Tak sangka dicalonkan bagi kategori ini. Namun bukan itu yang saya kejar kerana bagi saya lakonan satu tanggung jawab saya.
“Kalau menang, itu sudah rezeki saya. Terima kasih kepada pembaca kerana memilih saya,” katanya.
Aksi Beto boleh ditonton melalui drama bersiri Pelangi Kasih menerusi slot Samarinda di TV3 setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam, Beto memegang watak Zafrul.
Turut membintangi siri ini ialah Johan As’ari, Nabila Huda dan Puteri Sarah.
“Saya sedar ada penonton kurang senang dengan watak Zafrul. Bagi saya itu hanya tuntutan watak  dan saya gembira kerana peranan tersebut berjaya membuatkan penonton memberi reaksi marah.
“Di luar lokasi saya tidak begitu. Saya gemar lepak di rumah, mendengar muzik reggae dan menonton DVD.
“Lagipun isteri saya, Tisya sentiasa beri sokongan dan pada masa yang sama menjadi pengurus peribadi.
“Soal cemburu dek kerana saya berlakon dengan pelakon wanita lain, rasanya tidak,” katanya yang kini menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Bekas pelajar SMK Taman Ehsan, Selangor ini mengakui rumah tangga yang didirikan atas dasar cinta sejak empat tahun lalu itu amat bahagia walaupun buat masa ini belum ada rezeki menimang cahaya mata.
Pelakon filem Istanbul Aku Datang ini mengaku tidak sabar menunggu tayangan filem arahan Bernard Chauly itu di pawagam bulan depan ini.
“Memang saya sendiri teruja menyaksikan lakonan saya di dalam filem ini.
“Inilah filem kedua saya menjalani penggambaran di luar negara,” ujarnya.
Dua tahun lalu Beto ke New York menjalani penggambaran filem pendek Hujan Panas yang turut dibintangi Nadiah Hamzah.
Antara filem lakonan Beto yang ditayangkan di pawagam ialah Jalan Pintas, Chow Kit,  Barajiwa,  Sini Ada Hantu, Nur Kasih The Movie,  Sesuatu Yang Tertinggal,  Kami The Movie,  Syaitan dan sebagainya.
Manakala telemovie lakonannya ialah Pencari Jalan Lurus, Selagi Masih Ada, Bila Cinta Berzikir, Takbur Seorang Isteri,  Sesungguhnya,  Lari Sayang Lari, Kashaf Imani,  Uri,  Misteri Gua Musang dan Manggah Runggah.
Kini Beto sibuk di lokasi penggambaran telemovie Jujur Aku Dayus arahan Harris Kadir yang dirakamkan di sekitar Ampang, Kuala Lumpur.
“Manisnya saya berlakon telemovie yang bakal disiarkan di TV3 awal Februari nanti.
“Inilah kali pertama saya berlakon sebagai suami-isteri dengan Nora Danish,” kata Beto yang menyifatkan Nora seorang pelakon professional.
Oleh ZAINI ZAA /WARTA PERDANA /HATTA SANIE/BERITA 21