Diandra Siap Hadapi Kontroversi


MALAYSIA – BERITA 21: Sejak suaranya berkumandang di beberapa stesen radio membuat Diandra Arjunaidi lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk. Sebagai Penyanyi remaja, Diandra cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.
Paling ditakuti gadis berusia 20 tahun ini ialah terjebak dalam gosip cinta dan gemar bersosial. Namun, alang-lang menjadi penyanyi Diandra sanggup berdepan dengan sebarang kontroversi.
“Saya sudah bersedia menghadapinya dengan mental yang kuat,” katanya.
Anak didik penyanyi popular Yuna ini tidak kisah sekiranya hilang kebebasan seperti remaja lain selepas bergelar artis.
Artis Yuna Room Records ini memahami apabila bergelar Penyanyi, secara profesional dirinya menjadi milik masyarakat dan sebab itu dia sentiasa berjaga-jaga dalam setiap langkah yang dilakukan.
“Saya faham, apabila bergelar artis terlalu banyak dugaan yang perlu dilalui, terpulang kepada diri masing-masing. Lebih-lebih lagi tentang imej berpakaian, semua itu saya dah bersedia.
“Kalau nak kata hilang kebebasan, ia bukanlah satu isu yang besar kerana sebelum ini pun saya jarang keluar rumah. Melainkan mempunyai aktiviti nyanyian atau sekali sekala melepak di kedai mamak bersama rakan-rakan,” katanya.
Diandra juga gembira kerana baru melancarkan album pertamanya berjudul Diandra Arjunaidi dan berharap peminat dapat menerima karyanya itu.
Dalam pada itu, Diandra bangga melihat ramai wanita mula mempelajari taknik bermain gitar sebagai permulaan menceburkan diri dalam bidang muzik.
“Sekarang ini perempuan bermain gitar merupakan satu trend, lebih-lebih lagi daripada kalangan remaja. Mereka akan bermain gitar dan merakamkan nyanyian untuk dimasukkan ke dalam laman Youtube.
“Saya juga baru belajar bermain gitar dan sekali sekala saya membawa gitar bersama ketika membuat persembahan. Bagi saya, ia satu perkara yang sangat ‘cool’ kerana menunjukkan industri muzik kita semakin berkembang,” katanya lagi.
Album sulung Diandra memuatkan tujuh  lagu iaitu Angkasa, Things We Don’t Say, Remember, Happy, Entitled, White Lines dan You, kini sudah berada di pasaran.
 Oleh ZAINI ZAA /WARTA PERDANA /HATTA SANIE/BERITA 21