DJ Kencana Beraksi Di Breakfast@SuriaFM


MALAYSIA – BERITA 21: Pelakon Kencana Devi, bangga mendapat kesempatan sebagai penyampai atau deejay di stesen radio SuriaFM. Kencana akan menjadikan peluang itu menimba pengalaman dan belajar selok-belok dunia penyiaran, khususnya sebagai deejay radio daripada penyampai radio terbaik, Halim Othman atau HO.
Kencana Devi Segeran atau nama sebenarnya, Kanjana Devi A/P Suppiah, mula menjadi keluarga baru SuriaFM sejak empat minggu lalu. Pelakon filem Setem ini bergandingan dengan HO dalam segmen Breakfast@Suria, turut melahirkan rasa gembira dengan tawaran tidak disangka-sangka itu.
Sebelum ini segmen Breakfast@Suria dikendalikan oleh HO, Zizi dan pelakon Sharifah Shahira namun deejay  Zizi dipindahkan ke segmen Menu Ceria Suria menemani deejay Myra manakala Shahira mengundur diri untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
“Memang benar saya pernah dipanggil menyertai uji bakat sebagai deejay stesen radio ini. Namun saya tidak sangka terpilih sebagai keluarga baru stesen radio popular  ini.
“Saya akan jadikan peluang ini sebagai tapak menimba pengalaman daripada penyampai radio terbaik seperti Halim Othman,” kata Kencana dengan nada ceria.
Selain Kencana, antara artis yang turut diuji bakat oleh stesen radio yang kini berusia lima tahun ini ialah pelakon Azza (Elite) dan Amy Mastura.
Turut bersama Kencana dalam konti semasa segmen Breakfast@Suria ialah pelawak dan pelakon Nabil. Dalam pada itu, Kencana berharap peluang ini dapat melebarkan kerjaya seninya.
“Walaupun tidak mempunyai pengalaman sebagai juruhebah radio, saya yakin dapat menjadi deejay yang baik,” kata Kencana lagi.
Bagi Halim Othman, dia tidak merasakan tergugat dengan kehadiran Kencana Devi yang akan bersamanya mengendalikan segmen Breakfast@ Suria.
“Saya sebaliknya gembira dapat mengendalikan segmen ini bersama pelakon yang berbakat besar ini.
“Setakat ini saya suka dengan personaliti Kencana. Dia hebat berkata-kata. Cuma saya harap apa yang dipersembahkan nanti seimbang,” katanya dan berharap  Kencana dapat membezakan antara melawak di televisyen dan radio kerana impak sesebuah lawak yang dibuat begitu kuat kepada pendengar.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, pemilihan penyampai radio daripada pelawak dan pelakon bukan sekadar mengikut trend tetapi merupakan permintaan pendengar yang inginkan unsure komedi untuk segmen pagi.
“Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kami, elemen komedi perlu ada dalam pengisian setiap segmen, lebih-lebih lagi pada waktu pagi.
“Sebagai contoh, pendengar memerlukan lawak jenaka di saat mereka melalui kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke tempat kerja.
“Bagaimanapun, pihak kami tidak memberikan lawak kosong, sebaliknya ia akan diisi dengan hal isu-isu semasa,” katanya.
Kencana pula berjanji akan memberi yang terbaik kepada pendengar setia SuriaFM dan berharap pendengar dapat menegurnya dan berkongsi idea.
“Tanpa teguran, mungkin saya tak tahu sudah buat kesilapan. Pendengar berhak memberi komen dan berkongsi idea agar persembahan saya mantap serta memuaskan hati pendengar,” katanya.
Selain Breakfast@ Suria (bermula 5 pagi hingga 10 pagi), segmen kendalian Myra dan Zizi menerusi Menu Ceria Suria akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Mengisi segmen Santai Pejabat Di Suria (1 tengah hari hingga 4 petang) pula menyaksikan keletah Bob Ringgo, diikuti Ceria Petang Di Suria bersama Linda Onn (4 petang hingga 8 malam).
Manakala Tyzo akan mengendalikan Citra Muzik Di Suria bermula jam 8 malam hingga 11 malam dan segmen kegemaran ramai, Suria Cinta kendalian DJ Lin pula bermula jam 11 malam hingga 2 pagi.
Kencana juga gembira kerana tersenarai lima Top 5 Anuegarah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 25), bersama empat lagi finalis iaitu  Aliza Abdullah @ Enot, Didie Alias,  Norkhiriah dan Sharifah Shahira.
ABPBH25 akan diadakan April ini, menyaksikan Kencana menyerahkan kuasa kepada  peminat untuk memilih siapa yang layak menjulang trofi ini.
“Saya bersyukur terpilih berada dalam Top 5. Soal menang atau kalau itu terpulang kepada peminat menentunya. Jika trofi itu milik saya, ia menjadi hadiah paling bermakna pada tahun baru ini,” katanya.
Mengenai karier lakonan, Kencana mengakui  buat masa ini dia mahu memberi tumpuan lebih kepada tugas sebagai deejay.
“Saya mahu tumpukan karier sebagai deejay sepenuh masa  dan melupakan sementara dunia lakonan,” katanya yang sudah membintangi  tujuh filem sejak sebelas tahun lalu.
Oleh AS HUSNA SAINI /WARTA PERDANA /BERITA 21
Iklan