Fahrin: Misi 12 = Taktik Memikat Wanita


MALAYSIA – BERITA 21: Pelakon Fahrin Ahmad menyifatkan peluang menjadi pengacara rancangan Misi 12 memberi peluang beliau mendalami ilmu motivasi daripada pakar motivasi negara, Datuk Mohd Fadzilah Kamsah dan Dr Haji Tengku Ismadi.

Fahrin mengakui dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang motivasi sebagai ganti cita-citanya mahu menjadi guru sejak kecil lagi.

“Selain berlakon dan mengacara, saya mahu berikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat. Tahun lalu saya mulakan langkah demi langkah menimba ilmu daripada beberapa pakar motivasi, antaranya Datuk Dr Fadzillah Kamsah dan Dr Tengku Ismadi,” katanya.

Kebetulan pula, tambah Fahrin, dia mengacarakan program realiti terbitan Astro Ria berjudul Misi 12, sebuah program yang membimbing dan menyelamatkan golongan remaja bermasalah.

Misi 12 disiarkan setiap Selasa, jam 9 malam bermula 7 Februari lalu menerusi saluran Astro Ria (104). Dalam pada itu, Fahrin berazam berkongsi pengalaman dan maklumat dengan orang ramai menerusi kursus motivasi yang akan dianjurkan bersama rakannya. Selain Fahrin, beberapa pakar motivasi diundang memberi pendedahan pelbagai taktik lelaki memikat wanita.

“Selepas membuat kajian mengenai pengisian dalam sesebuah kursus motivasi, didapati wanita kurang didedahkan mengenai taktik lelaki, terutamanya yang mahu memikat wanita.

“Justeru, saya dan rakan kongsi menghasilkan modul berkenaan dan ternyata ia menerima respons positif selepas menganjurkan kursus di Universiti Putra Malaysia (UPM) Disember tahun lalu,” katanya.

Oleh ZAINI ZAA /Foto SUHAIZUL IZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA /BERRITA 21