Film Chantek Yang Patut Dilihat


MALAYSIA – BERITA21: Yakin dengan penampilan pelakon popular drama TV seperti Maimon Mutalib, Abon dan Kin Wah mendorong Pierre Andre memilih mereka bagi mantapkan filem kelima arahannya.

Tidak menghampakan, penampilan Maimon sebagai ibu Citra dari agensi pekerja asing, berjaya melontarkan lakonan yang boleh dipuji dan berbeza dari kemunculannya di kaca TV.

Berbanding filem lain yang membariskan pelakon terkenal, filem Chantek hanya berbekalkan skrip yang santai dan lokasi popular di sekitar Kuala Lumpur namun mampu mengundang peminat filem ke pawagam terutama mereka yang gemarkan filem elemen cinta sejati.

Bersandarkan tagline ‘Kebahagiaan adalah kejujuran dan kepercayaan’ tidak mustahil filem ini memberi daya tarikan seisi keluarga ke pawagam menontonnya.

“Saya perlukan sokongan peminat filem menyaksikan Chantek sekaligus menyuntik semangat menghasilkan filem yang lebih disukai. Saya akui filem ini tidak dibarisi pelakon hebat dan ternama, namun saya percaya kepada rezeki yang Allah tetapkan.

“Pendokong filem Chantek saya rasa sudah memadai dan mereka memberi lakonan terbaik. Apa yang penting, Chantek akan menjadi filem pilihan seisi keluarga pada hujung minggu,” kata Pierre Andre ketika ditemui selepas tayangan filem ini.

Filem terbitan Empat Samudra Plantation ini akan menemui penonton di pawagam pada 16 Februari ini dan dikabarkan akan turut ditayangkan di Indonesia.

Sementara itu, pelakon utamanya, Nurul Ekadsari, melahirkan kesyukuran dapat membintangi Chantek. Anak kelahiran Jawa Barat ini berharap penonton filem tempatan akan memberi sokongan dan kritikan yang membina.

“Saya gembira mendapat tawaran berlakon di Malaysia. Inilah filem pertama yang banyak membantu saya mengenai siapa khalayak penontonnya,” kata Nurul, pemegang Diploma kewartawan dan penyiaran.

Sinopsis Filem Chantek

AD seorang bintang filem yang hidupnya mewah dan ceria tetapi menjadi buta setelah dilanggar kereta sejurus terserempak dengan tunangnya yang berlaku curang. Akibat tersangat kecewa, AD memencilkan dirinya di rumah penginapan.

Pengurus AD iaitu SAM mengupah CHANTEK, seorang pembantu rumah dari Indonesia menyamar sebagai lelaki untuk menenteramkan AD yang masih fobia dengan perempuan. Lama-kelamaan kerana kebaikan AD dan kemesraan mereka berdua, CHANTEK terpaksa mendedahkan rahsianya. Walaupun marah, AD sedia memaafkannya kerana kejujuran CHANTEK membantu memulihkannya dan akhirnya mereka berdua saling jatuh cinta.

Namun hati CHANTEK berubah setelah terjumpa skrip yang mengisahkan percintaan seorang lelaki dengan pembantu rumahnya, dia terasa diperbodohkan dan dipergunakan oleh AD sebagai bahan latihan filemnya. CHANTEK benar-benar terasa ditipu dan hatinya dipermainkan, lantas melarikan diri.

Akibatnya AD tidak ketentuan arah dan tidak dapat berlakon semula kerana terkenangkan CHANTEK. Berjayakah AD bertemu dan memenangi hati CHANTEK kembali?

Oleh ZAINI ZAA /Foto SUHAIZUL IZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA /BERITA 21