Album “Hit Semata-Mata Selamanya” Kompilasi 17 Artis


MALAYSIA – BERITA21.COM: Pembuka tirai 2012 membuka peluang kepada Warner Music Malaysia, memasarkan album kompilasi terunggul yang memuatkan 23 lagu hit sepanjang tahun lalu.

Seramai 17 penyanyi popular tanahair, turut memantapkan album berjudul Hit Semata Mata Selamanya, yang sudah berada di pasaran, sejak awal tahun lalu.

Lagenda Raja Pop Jamal Abdillah, kumpulan Jinbara, Mirwana, Fiq, antara penyanyi sepanjang zaman yang menyumbangkan suara mereka untuk album ini.

Tidak ketinggalan nama-nama baru dalam industri muzik tanahair seperti Awi Rafael, Nashrin, Tom, Wana, kumpulan Taxi, AwanBand, Filsuf, Salam dan Altimet.

Lebih istimewa album ini mendapat kerjasama dengan Astro apabila barisan finalis Akademi Fantasia seperti Akim, Stacy, Shahir, Hazama, Hafiz, Fina, Lena dan Nera, membantu menjadikan album Hit Semata Mata Selamanya, menjadi tarikan peminat muzik tanah air.

Menariknya, album kali ini menampilkan lagu-lagu yang telahpun menduduki tangga pertama di beberapa carta radio tanahair. Antaranya lagu Kisah Dongeng, Cinta Teragung, Janji dan lagu Awan Nano, yang baru-baru ini dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu 26.

Tidak cukup dengan menggabungkan kesemua lagu-lagu yang menjadi pilihan peminat muzik tanah air, album ini turut menampilkan empat single hit yang masih belum boleh didapati dalam mana-mana album tetapi telah mendapat tempat di playlist di stesen-stesen radio tanahair.

Lagu berentak rock nyanyian Fiq dan Akim bertajuk Mesti Ada Cinta selain lagu tema perlawanan bola sepak berjudul Selamanya nyanyian Ultras Malaya yang menampilkan getar suara Altimet, Joe Flizzow dan Carleed serta single terbaru kolaborasi pertama antara Mirwana dan Altimet bertajuk Itu Ini Begitu Begini.

Bagi mereka yang tercari-cari lagu Malaysia Boy dendangan Altimet, DJ Fuzz, Ila Damiaa, Point Blanc dan Rabbit Mac, lagu ini juga turut dimuatkan dalam album ini!

Pelancaran album Hit Semata Mata Selamanya, diadakan di Hard Rick Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini dengan persembahan dari artis seperti Faris, vokalis AwanBand, Wana, Mirwana dan ramai lagi artis. Album ini wajib dimiliki oleh pencinta muzik tanahair! Dengan memuatkan 23 lagu, album ini tidak rugi memilikinya dengan harga hanya RM27.90 seunit!

 Oleh ZAIN ZAA /WARTA PERDANA/HATTA SANIE/BERITA21.COM
Iklan