Cristina Jadi Istri Kawin Kontrak


MALAYSIA – BERITA21.com: Sebelum bergelar pelakon, Cristina Suzanne Stockstill, pernah menimba pengalaman selama enam tahun sebagai pramugari di syarikat penerbangan swasta.

Ketika itulah, bintang jelita berdarah kacukan Melayu-Jerman, yang mempunyai ketinggian 168sm ini mula berjinak-jinak berlakon.

Drama pertamanya, Cermin Pada Bulan, arahan Erma Fatima yang disiarkan di TV3 berjaya mengetuk pintu hatinya meminati dunia seni.

Antara drama lakonan Cristina ialah Kasih Najihah dan Dia Bukan Maryam selain sebuah filem indie berjudul Kil yang diterbitkan tahun lalu.

Bagaimanapun minat itu kembali suram apabila Cristina memberi tumpuan pada kariernya sebagai pramugari, sehinggalah pada 2006 dia ditawarkan berlakon filem pendek berjudul My Indie Rock Darling.

Pelakon yang baru menyambut ulang tahun ke-27 pada 22 Januari lalu ini sebenarnya bukan baru dalam bidang lakonan, sebelum itu Cristina sudah berlakon beberapa drama dan telemovie.

“Cuma baru sekarang saya kembali aktif, itupun selepas menyertai program realiti TV, Pilih Kasih,” ujarnya.

Ketika itu, kata Cristina, tidak siapa kenal kerana dia dikenali sebagai Kris Cempaka, nama yang diberikan oleh juri Pilih Kasih.

“Saya tak sangka kemunculan dalam drama Bicara Hati telah mendapat perhatian penonton.

“Ia sekaligus memberi kepuasan kepada saya apabila membaca komen peminat di akhbar, majalah dan blog serta facebook.

“Sejujurnya, Bicara Hati memberi cabaran besar kepada saya, apatah lagi saya diarahkan melakonkan watak isteri yang tertekan sepanjang menempuh alam perkahwinan kontrak itu,” kata Cristina yang meminati aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan fotografi.

Kata Cristina, amat berat bawakan watak isteri kahwin kontrak, namun dia berjaya melakukannya atas bimbingan pengarah.

Cristina berterima kasih kepada Osman Ali, pengarah drama bersiri Bicara Hati kerana memberi peluang kedua kepadanya muncul semula selama 26 episod.

“Bicara Hati sebuah drama romantik, saya sangat gembira dapat berlakon drama arahan Pak Osman Ali.

“Malah saya bangga menghidupkan watak utama sebagai Zahlia,” katanya yang mengakui menghayati watak Zahlia melalui pembacaan novel karya Damya Hanna.

Turut berlakon dalam Bicara Hati ialah Sharnaz Ahmad sebagai Tengku Shahran, selain Marsha Landoh, Azizah Mahzan, Zarina Zainuddin, Zaidi Omar dan ramai lagi.

Pelakon kelahiran Muar, Johor ini tidak menafikan minat berlakonnya mewarisi darah seni nenek dan ibunya. Neneknya pernah menjadi penari istana, sementara ibunya pula penari kebudayaan.

Bezanya bakat Cristina lebih cenderung kepada dunia lakonan.

Cristina yang gemar mendengar muzik jazz dan pop serta R&B, mengakui tidak berbakat dalam seni suara namun tetap mengagumi kemampuan vokal dua penyanyi idolanya, Ruth Sahanaya dari Indonesia dan ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid.

“Mereka berdua penghibur paling saya kagumi sejak dulu lagi,” katanya.

Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/Berita21.com