Jihan Musa Makin Laris


MALAYSIA – BERITA21.COM: SELEPAS meninggalkan Gelanggang Raja Lawak musim ke-3 (RL3), Jihan Muse, mengakui masih kabur mengenai pilihan kerjaya, sama ada mahu terus bekerja sebagai juruteknik di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau serius dalam lakonan.

Akhirnya pelakon kelahiran Taiping, Perak ini bertekad untuk menyahut cabaran menjadi anak seni sekalipun terpaksa merangkak mencari peluang berlakon dengan produksi drama TV hampir dua tahun lamanya.

Berbekalkan impiannya mahu bergelar pelakon serta berkat kegigihan dan tidak kenal putus asa, tahun 2011 berjaya mengubah nasib Jihan.

Hari ini selepas dua tahun, naib juara Raja Lawak musim ketiga ini, pelakon ini mengakui menerima banyak tawaran berlakon dari pelbagai produksi.

“Saya bersyukur hari ini rezeki berlakon drama TV tidak pernah putus. Setiap hari berada di lokasi penggambaran drama.

“Fokas saya ialah menimba pengalaman berlakon dan terus belajar memperbaiki kelemahan.

“Biarlah ketika ini saya memegang watak pembantu pelakon, tetapi saya percaya suatu hari nanti, keadaan ini akan berubah, insya-Allah,” kata Jihan, ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengenai filem pertama lakonannya, Adik Manja the Return yang masih belum ditayang sampai ke hari ini, Jihan mengakui sedikit kecewa namun tidak bermakna menolak peluang ke layar perak lagi.

Filem Adik Manja the Return yang diarahkan oleh Dharma Harun al Rashid, sepatutnya memasuki pawagam pada awal 2011 tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal, sutradara filem ini terpaksa mendapatkan tarikh lain yang lebih sesuai untuk tayangan.

“Memang saya akui sedikit rasa kekecewaan apabila filem pertama saya, terpaksa ditangguhkan tayangan. Mungkin pengarah filem ini sedia maklum, sebab kelewatan tayangan filem ini di pawagam.

“Namun saya harap Adik Manja the Return akan dapat ditayang juga,” kata Jihan yang berharap dapat menjadi model iklan TV.

Dalam pada itu anak kedua dari empat beradik ini, merasa lega kerana penggambaran telemovie terbarunya berjudul Patah Hati, arahan Michael Ang, bakal disiarkan pada 23 Mei ini, jam 9.00 malam di Astro Ria.

Telemovie Patah Hati, dijangka mencatat tontonan ramai, ekoran kisah cinta Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad, yang juga pelakon utama telemovie ini, hangat dibualkan ketika ini.

Ini kerana dia akan muncul pula dalam program terbaru terbitan Astro berjudul Karoot Komedian selain drama berjudul Misteri Pontianak Cantek dan drama Gila Gila.

“Walaupun padat dengan jadual penggambaran namun saya berpuas hati kerana tercapai hasrat menjadi anak seni,” kata Jihan yang turut terbabit dengan pementasan teater bertajuk KL Ku, dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka, hujung bulan lalu.

Selain itu Jihan juga turut muncul dalam sitcom Moh Ke café Kita, yang disiarkan setiap Ahad, jam 9.30 malam di TV1 dan terbabit dengan penggambaran filem pendek, Kopi 3 Rasa.

Oleh ZAIN ZAA /Foto SUHAIZUL IZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA/HATTA SANIE/BERITA21.COM