Sharnaaz Ada Pelaris


MALAYSIA – BERITA 21: Pelakon baru di persada drama TV dan layar perak, Sharnaaz Basir Ahmad, kini menjadi pilihan ramai pengarah drama TV dan filem ketika ini. Pakej yang dimiliki pelakon kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini, mampu membantu melariskan filem dan menarik jutaan penonton drama TV.

Sharnaaz yang bakal menyambut ulang tahun ke-26 pada 30 Ogos ini, memulakan karier lakonan setahun yang lalu, muncul dalam drama Tari Tirana, Dottie, KumKum, Pontianak Kampung Batu dan Ungunya Cinta.

Terbaru Shaznaaz muncul dalam drama arahan Michael Ng, berjudul Patah Hati, yang bakal disiarkan di Astro Prima, 23 Mac ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur rezeki berlakon makin murah dan penonton pun menyukai lakonan saya serta reaksi positif ini memberi suntikan semangat untuk saya terus memajukan bidang lakonan ini.

“Cabaran saya ialah melakukan yang terbaik memandangkan ramai pelakon baru yang muncul, mempunyai pakej yang diperlukan oleh produksi drama dan filem.

“Setakat ini, Alhamdulillah kerana keyakinan pengarah drama dan filem terhadap kemampuan saya dalam menghidup pelbagai watak yang mereka inginkan,” kata Sharnaaz.

Mengenai hubungan intim dengan penyanyi Shila Amzah, pelakon filem Seru dan Azazil ini, memohon restu peminat dengan mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jinjang pelamin.

“Saya harap hubungan kami akan mendapat restu keluarga dan peminat. Doakan kebahagiaan kami,” kata pelakon kacak ini.

Pernah tercalon sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2010 bagaimanapun gagal meraih kejayaan namun sekali lagi, Sharnaaz dicalonkan pada pada tahun ini dengan dua pencalonan

sekaligus menerusi kategori Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki dalam ABPBH25.

“Minat berlakon itu sudah terpendam lama. Lagipun ayah saya seorang pemuzik, barangkali darah seni itu mengalir di badan.

“Dunia hiburan ini menyeronokkan juga, walaupun memenatkan. Saya perlu membiasakan diri dan ini baru permulaan,” katanya terbabit dalam telefilem Pontianak Kampung Batu bersama Erra Fazira, Didie Alias dan Sharifah Shahora.

Oleh ZAIN ZAA /Foto SUHAIZUL IZHAR ISMAIL /WARTA PERDANA/HATTA SANIE/BERITA21.COM