4 Artis Ternama Promosi Album di Malaysia


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA 21: Empat artis ternama, Astrid Satriasi, Nidji, D’Masiv dan Geisha akan mempromosikan produk terbaru masing-masing berupa album dan single, selain mengadakan persembahan di Malaysia, selama lima hari.

Penyanyi solo, Astrid yang tampil dengan lagu single Tentang Rasa memeriahkan siri jelajah yang dianjurkan oleh Universal Music Malaysia dan Rumpun Records selaku syarikat rakaman mereka.

Manakala Nidji berbekalkan dengan album Liberty dan D’Masiv diiringi lagu Persiapan akan berada di Malaysia menerusi persembahan jelajah yang diadakan bermula 8 Mac ini.

Geisha yang pernah ke negara ini untuk mempromosikan album Meraih Bintang menampilkan lagu popular mereka Cinta Dan Benci akan terus meraih sokongan rakyat tempatan, berbekalkan single seterusnya Remuk Jantungku.

Dua persembahan berbeza apabila Nidji dijadualkan membuat persembahan pada Hotfm Big Jam di Kuala Terengganu pada 10 Mac depan manakala D’Masiv, Geisha dan Astrid bakal membuat persembahan secara akustik di AEON Jusco AU2, Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur pada 9 Mac jam 8.30 malam.

D’Masiv, Geisha dan Astrid, itu juga akan menyertai Konsert Nusantara 1Malaysia yang akan diadakan di Dataran Datuk Bahaman, Lanchang, Pahang pada 10 Mac 2012, jam 8.30 malam, disertai kumpulan tempatan seperti 6ixth Sense, GX4 dan Lefthanded.

Pada 11 Mac 2012, bertempat di Redbox Plus, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur, mereka akan menyertai acara sesi beramah mesra bersama peminat bertuah diadakan dengan kerjasama penaja, Redbox, dan pemenang bertuah yang memenangi peraduan menerusi Suria FM akan diraikan bersama semua artis terbabit.

Pada sebelah malamnya pula, persembahan Sunday Nite Jam bersama Nidji dijadualkan berlangsung di The Loft, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur memandangkan peminat di ibu kota tidak berkesempatan melihat sendiri persembahan kumpulan ini dalam acara sebelumnya.

Kumpulan The Malayan turut dicundang bagi mengadakan persembahan pembukaan, dan bakal ditonton kesemua artis yang turut menyertai rangka promosi kali ini.

Oleh Zaini Zaa /Warta Perdana /Hatta Sanie/Berita21