Noremy Jadi Terkenal Sejak Ditegur Oleh Hakim


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21: Peristiwa ditegur seorang hakim mahkamah syariah lima tahun lalu membawa perubahan besar dalam hidup Nuremynadia Ramli, 26, apabila dia akhirnya muncul sebagai pelakon popular.

Pelakon kelahiran Sungkai, Perak yang lebih mesra dengan panggilan Emy ini ditegur hakim kerana berlakon dalam filem Maut sedangkan ketika itu dia kakitangan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Filem Maut arahan Bade ditayangkan pada umum pada 2009 dan publisitinya memaparkan wajah Emy tanpa tudung itu tersebar luas.

Emy mengaku terkejut dengan teguran itu, menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan pada karier lakonan sepenuh masa.

“Pada masa itu saya terikat dengan badan kerajaan. Saya tidak dibenarkan muncul di layar perak,” katanya yang juga pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL).

Namun, selepas dua tahun Emy merasakan jiwanya tiada sesuai di jabatan kehakiman dan sejak itu dia mula mencari apa yang sebenarnya dia mahu.

“Ternyata jiwa saya lebih dalam bidang lakonan. Demi minat yang mendalam saya berusaha mencari peluang berlakon kembali.

“Bukan senang nak mendapat kepercayaan kerana orang ramai semakin lupa lakonan saya yang terdahulu,” katanya.

Akhirnya anak bungsu daripada empat beradik ini berjaya menempatkan diri bersama pelakon wanita popular. Malah dia disenangi pengarah kerana bakatnya.

“Saya bersyukur berjaya memenuhi impian menjadi pelakon sepenuh masa. Cuma masih ada lagi impian belum tertunai iaitu berlakon di bawah arahan Yusry KRU dan Osman Ali.

“Walaupun mula berlakon filem Castello pada 2006, namun saya masih lagi dalam proses memperbaiki diri.

“Saya ingin bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Elly Suriati, Fauziah Nawi, Sharifah Amani dan Soffi Jikan,” katanya yang sudah lima tahun mengikat kontrak dengan MIG Production.

Mengakui lambat mencetak nama sebagai artis popular sedangkan kemunculannya sebaris dengan Liyana Jasmay dalam filem Castelo.

Namun Emy tidak terasa hati, sebaliknya menerima rezekinya dengan tangan terbuka, malah bersyukur diberi kesempatan menonjolkan bakatnya sehingga dikenali ramai.

Menjadikan filem Castello sebagai daya sokongan dan inspirasi, kini Emy mampu tersenyum kerana impiannya kembali berlakon termakbul.

Gadis kecil molek ini tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon mengejar populariti, sebaliknya mahu dikenali sebagai pelakon berbakat.

Dia yang pernah membintangi drama bersiri Gerak Khas, Delima Wanita, Atas Nama Cinta ini baru saja selesai menjalani penggambaran filem Super Duper Lover di sekitar Kuala Lumpur dan Pantai Morib, Selangor.

Menerusi filem itu Emy membawa watak Murni, pasangan kepada Mukhriz yang dilakonkan oleh Aeril Zafrel.

Menyedari karakter itu sesuatu yang baru, apatah lagi kali pertama berlakon di samping Aeril, Emy menganggap cabaran bercinta dengan Aeril memerlukan penghayatan yang tinggi.

“Saya cuba bina keserasian bersama Aeril supaya tidak kelihatan kekok di hadapan kamera. Mengenai cinta lokasi, saya belum bersedia bercakap mengenainya.

“Sebaliknya komitmen kami hanya sekadar pelakon yang hanya menjayakan watak masing-masing,” kata Emy yang memiliki darah campuran Singh di sebelah mak dan Cina sebelah ayah.

Selain itu, Nuremy juga membintangi empat filem lain terbitan MIG, iaitu Halimunan, Nonkrong, Aji Noh Terbang dan 3 Temujanji. Filem pertamanya bersama MIG berjodol ‘X’ akan ditayangkan tidak lama lagi.

Emy gemar menghabiskan masa di rumah sekiranya tiada penggambaran drama atau filem.

Minat yang mendalam dalam bidang lakonan mendorong Emy meninggalkan kampung halaman pengalaman sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

“Mak dan ayah tidak pernah menghalang Emy menceburi bidang ini asalkan apa yang Emy lakukan itu lahir dari minat Emy sendiri.

“Emy bukannya lahirnya dari keluarga berada, jadi Emy ada tangguyng jawab menambah pendapatan dengan rezeki halal selain membantu mak dan ayah,” katanya yang kini seorang perunding kewangan.

Oleh Zaini Zaa /Warta Perdana /Hatta Sanie/Berita21
Iklan