Tubuh Besar Tak Halangi Jadi Terkenal


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21: Berbekalkan kejayaan menerusi rancangan realiti Jangan Lupa Lirik yang disertai tiga tahun lalu, artis baru, Nana Azmi yakin kekuatan vokalnya mampu mencipta nama di persada seni suara tanah air sekalipun sedar fizikalnya berbadan besar.

Menerusi single lagu pertama, Raja Di Hati Ku yang dirakam beberapa lalu, memberi harapan yang tinggi kepada pemilik nama sebenar Noor Liana Azmi ini mengapai kejayaan.

Lagu Raja Di Hati Ku dijangka menarik perhatian peminat irama pop walaupun Nana menyedari tidak memiliki pakej seorang penyanyi yang sempurna.

Dia mengakui fizikalnya berbadan besar namun percaya peminat bersifat terbuka tentang bentuk fizikal seseorang penyanyi.

“Saya akui fizikal saya tidaklah menarik seperti penyanyi lain namun, saya ingin pertaruhkan vokal melalui Raja Di Hati.

“Saya ambil beberapa contoh penyanyi berbadan besar yang berjaya di tanah air seperti Adibah Noor dan Dina Nazir, mereka mampu mencipta nama dengan ‘menjual’ bakatnya sahaja.

“Rasanya ia bukan satu halangan atau alasan melainkan kita malas untuk berusaha,” katanya.

Bercerita mengenai Raja Di Hati, Nana percaya lagu pop ciptaan komposer baru, Abdul Arizal atau Apek dan lirik ditulis oleh Arliana ini mampu pergi jauh berdasarkan susunan muzik oleh Syed (Nitrus).

Tambah Nana, walaupun mesej berbentuk percintaan yang disampaikan dalam lagu ini agak klise seperti lagu penyanyi lain namun melodinya mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Alhamdulillah, saya boleh menjiwai lagu ini dengan baik, malah ketika rakaman dilakukan saya cuma ambil masa empat jam sahaja.

“Saya juga sudah merakam tiga lagu lain seperti Merpati Putih, Tentang Hidup dan Batu Loncatan.

“Semua lagu ini dimuatkan di dalam album sulung saya nanti yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

“Insya-Allah, single album saya ini sudah ada produksi yang mahu menerbitkannya. Ikut perancangan ia bakal diterbitkan oleh syarikat DM Records,” katanya dengan wajah ceria.

Sebelum ini, Nana pernah muncul dalam program ‘Jangan Lupa Lirik’ pada tahun 2009 dan berjaya membawa pulang RM100,000.

Penyanyi ini juga pernah terbabit dalam pembikinan iklan dan alih suara animasi TV.

Nana yang petah bercakap itu juga ingin cuba menonjolkan bakat lakonannya sekadar untuk mengasah bidang yang juga diminatinya itu.

“Kalau ada peluang saya ingin mencuba nasib sebagai pelakon drama TV. Sekurang-kurangnya saya dapat mengasah bakat dan lebarkan bakat seni saya.

“Manalah tahu bakat lakonan saya juga lebih terserlah,” katanya yang meminati lakonan Tiz Zaqiah dan Remy Ishak.

Oleh Zaini Zaa /Warta Perdana /Hatta Sanie/Berita21
Iklan