Film Jidin Sengal Bukan Lawak Kosong


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.COM: Selepas tiga bulan filem Suatu Malam Kubur Berasap menemui penonton, sekali lagi gandingan serasi Along dan Angah Raja Lawak tampil dalam filem Jidin Sengal.

Persoalannya, mampukan dua pelawak popular ini menarik penonton ke pawagam menonton filem arahan sulung sutradara muda, Esmi Zahara?

Cukupkah sokongan peminat setia Along dan Angah membawa penonton memenuhi pawagam menyaksikan filem kedua terbitan outLOUD Studios ini?

Bagaimanapun, dua pelakon ini yakin peminat filem komedi tidak menghampakan mereka dan terus memberi sokongan tanpa jemu.

“Kami yakin peminat filem komedi tak jemu menonton lakonan kami. Lagipun Jidin Sengal bukan filem kosong seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kami tidak menafikan sering bergandingan dalam filem, namun kami percaya bukan disebabkan penampilan ini punca penonton berkurangan ke pawagam,” kata Angah ketika ditemui selepas pratonton filem ini.

Sementara itu, sutradara filem Jidin Sengal, Esmi Zahara, sependapat dengan Angah dan Along bahawa filem arahannya ini sarat dengan mesej positif.

“Dengan menonton filem ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada anak muda bekerja keras mencapai cita-cita.

“Inilah moral cerita yang ingin kami sampaikan kepada penonton, jangan sekali-kali berputus asa dalam apa jua kerja yang dilakukan,” kata Esmi.

Tambah Esmi lagi, promosi awal filem Jidin Sengal telah diadakan di KL Sentral dan KTM Mid Valley, baru-baru ini.

Katanya, siri jelajah promosi yang dilakukan hasil usaha sama KTM Berhad dan outLOUD Studios ini berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung.

Kejayaan ini rentetan sambutan menggalakkan daripada 3,000 pengunjung sewaktu siri jelajah filem Suatu Malam Kubur Berasap juga terbitan outLOUD Studios.

Siri penjelajahan ini diketuai Ernie Chen selaku Penerbit Eksekutif Jidin Sengal yang juga pelakon pembantu bagi filem tersebut.

Selain filem Jidin Sengal, dua pelakon popular ini juga muncul dalam filem Adnan Sempit 2 yang juga baru sebulan lalu menemui penonton di pawagam.

Selain Along dan Angah Raja Lawak ramai lagi pelakon yang mempunyai peminat masing-masing ikut berlakon. Antaranya, Azrul Raja Lawak, Zac Diamond (X-Factor), Faezah Elai, Jue Aziz serta penampilan khas Seniwati Mariani dan Hamid Gurkha.

Pasangan suami isteri, Norman Hakim dan Memey Suhaiza juga turut serta bersama pelakon pembantu lain. Filem Jidin Sengal mula menemui penonton di pawagam sejak 22 Mac lalu.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com