Ilia Iryani Gadis Berani


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.COM: Kemahiran melakukan aksi lasak bermotosikal bukan lagi dikuasai golongan lelaki malah ia mampu ditandingi sama hebat oleh wanita seperti dibuktikan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

Aksi akrobatik Ilia Iryani Shuib, siswi tahun akhir dalam jurusan akuatik biologi di universiti itu yang memegang watak Minah Rempit dalam filem Adnan Sempit 2, mendapat pujian penonton filem ini.

Bermula hanya sekadar suka-suka, kini aksi lasak bermotosikal sudah menjadi hobi Ilia sejak dua tahun lalu.

Ilia mengakui apa yang dilakukannya itu memang berbahaya bagi seorang gadis sepertinya, namun berbekalkan pengalaman berkecimpung dalam dunia permotoran sejak empat tahun lalu menghilangkan rasa gentar untuk melakukannya.

“Saya memang agak gementar ketika pertama kali diberi peluang beraksi di depan kamera.

“Sebelum ini saya hanya melakukan aktiviti ini kerana minat, tetapi kini ia bertukar menjadi kerjaya pula,” kata Ilia.

Lebih menarik lagi, aksi lasak gadis berusia 25 tahun ini tidak banyak perlu diulang semula ketika penggambaran dijalankan. Ini kerana Ilia sudah biasa dengan aksi yang diminta lakukan.

Sepanjang empat tahun melakukan aktiviti ini dia hanya sekali mengalami kecederaan serius iaitu koyak di lutut tiga tahun lalu.

“Saya tidak ambil masa lama menjayakan babak aksi lasak ini.

“Jika adapun disebabkan saya terlajak melakukan aksi yang disuruh dan pengarah akan minta saya ulanginya,” ujarnya.

Menurut Ilia, kecederaan teruk yang dialaminya sehingga terkoyak lutut berlaku ketika dia melakukan aktiviti permotoran pada 2009.

“Lutut saya terkoyak serta badan saya banyak luka.

“Alhamdulillah, insiden itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan apa yang saya minati,” tambahnya.

Menurut Ilia, pada mulanya dia hanya mencari tajaan untuk sebuah program sukan bermotosikal di USM pada 2008 dan apabila syarikat RK-M sudi menaja program itu, dia cuba melakukan aksi lasak dengan bantuan kakitangan syarikat tersebut.

Ilia kini sudah bernaung di bawah syarikat MIG Productions milik David Teo dan berpeluang membuat persembahan di Karnival Kedah Sejahtera.

“Mereka (pihak RK-M) nampak bakat saya dan terus menawarkan hasrat melatih saya menjadi profesional dan bermula dari situ saya menjalani latihan di kilang RK-M di Prai, Pulau Pinang seminggu sekali,” katanya.

Buat masa ini Ilia belum pernah menyertai kejohanan sukan motosikal tetapi dia sentiasa mengikuti RK-M mengadakan persembahan lasak jika diminta.

Mengimbau detik awal pembabitan, Ilia hanya memberitahu keluarganya selepas enam bulan membabitkan diri dalam aktiviti ini.

“Saya terpaksa merahsiakan hal itu daripada keluarga kerana bimbang mereka tidak boleh menerima minat saya ini.

“Bagaimanapun, keluarga mula mengetahui pembabitan saya dalam sukan permotoran ketika membuat pertunjukan di GP Motor Racing di Sepang pada 2008. Pihak RK-M menemui keluarga dan menerangkan aktiviti saya,” katanya.

Menurut Ilia lagi, apabila tamat pengajian dia akan mencari pekerjaan dalam bidang pengajiannya tetapi tidak akan meninggalkan sukan permotoran.

“Saya ingin membuat persembahan motorcross dan mahu memartabatkan sukan ini serta cuba ingin menarik lebih ramai kaum wanita menyertainya sehingga peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Filem Adnan Sempit 2 yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Februari lalu menyaksikan sambungan kisah cinta Mat Rempit bernama Adnan (Shaheizy Sam) dengan anak orang kaya, Nadia (Intan Ladyana).

Filem keluaran Metrowealth Pictures yang diarahkan oleh Ismail Bob Hashim ini berjaya mencatat kutipan terkini lebih RM7 juta sepanjang dua minggu ditayangkan di pawagam.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com
Iklan