Shiha Grogi Jadi Bintang Tamu JJCM


KUALA LUMPUR, MALAYSIA – BERITA21.COM: Selepas dua musim rancangan Jalan jalan Cari Makan (JJCM) dihoskan oleh pelakon Qi Khusairi, kini giliran Shiha, naib juara Mentor musim ke-5, bergandingan dengan juara musim pertama Pilih Kasih, Mohd Iqbal Mazlan mengendalikannya.

Kemunculan pertama mereka dalam rancangan terbitan TV3 ini minggu lalu menampilkan beberapa kelaianan. Pada minggu lalu, restoran kunjungan mereka lebih bertemakan makanan berasaskan roti iaitu kebab, belut dan makanan laut seperti udang.

Selain itu turut menampilkan selebriti jemputan, Shamsul Ghau Ghau.

Bagaimanapun, reaksi awal penonton setia JJCM menerusi facebook menyatakan penampilan Shiha dan Iqbal kurang menarik serta gagal memberi kepuasan penonton.

Penonton memujikan Qi Khusairi yang dianggap berjaya menghidupkan rancangan popular ini. Tidak kurang juga peminat meminta penerbit rancangan ini menggantikan pasangan hos baru ini.

Bagi Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, komen penonton setia JJCM itu tetap disambut baik dan sedia memberi teguran.

Namun bagi pelakon drama Bujang Sepah Lalalitamplom, Gerak Khas, Sutun dan Kilauan, inilah peluang yang tidak patut ditolak. Sebagai hos baru, Shiha yakin inilah pendedahan terbaik kepada karier seninya selain menyanyi.

Bekas protege kepada penghibur negara, Datuk Sharifah Aini ini, menganggap pilihan TV3 itu seperti bulan jatuh ke riba kerana dapat muncul dalam rancangan popular setiap hujung minggu.

“Sukar saya nak percaya dengan tawaran ini. Demi kelangsungan dalam bidang seni, saya sahut seruan ini mencuba kareir baru sebagai hos TV.

“Terima kasih kepada penerbit rancangan ini yang percaya dengan kemampuan saya.

“Pengalaman pertama di lokasi memang gementar tetapi Alhamdulillah, dengan tunjuk ajar kru produksi saya dapat lakukan dengan baik,” kata Shiha yang sebelum ini pernah muncul dalam program Malaysia Hari Ini dan Mentor Raya.

Mengenai gandingannya dengan Iqbal Mazlan, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mengakui pada mulanya agak kekok, tetapi akhirnya dapat juga keserasian setelah saling mengenali antara satu sama lain.

“Walaupun sedar ada teguran dari peminat setia rancangan ini mengenai cara saya bekerja sebagai hos rancangan ini kurang disenangi, saya berjanji akan mencuba sebaik yang boleh.

“Lagipun inilah kemunculan pertama saya. Tentulah banyak kekurangannya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua peminat JJCM kerana menegur dan mengulas mengenai penampilan saya.

“Apa yang dapat saya katakan, janganlah samakan saya dengan pengacara sebelum ini.

“Pada episod akan datang insya-Allah JJCM akan lebih baik dan menghiburkan,” kata Shiha yang popular dengan dua single lagu iaitu Bila Bertemu dan Jangan Lagi Jauh.

Dia yang bakal menyambut ulang tahun ke-25 pada 2 November ini gemar bermain bowling atau berkaraoke pada waktu lapang.

Menyingkap kisah lalu pembabitannya di bidang seni bermula secara serius setelah berhijrah ke Kuala Lumpur enam tahun lalu.

“Buat masa ini saya belum membuat keputusan untuk menumpukan karier sebagai pengacara TV.

“Menyanyi tetap bidang utama paling saya cintai. Bila saya terima tawaran sebagai hos tidak bermaknalah saya akan meninggalkan nyanyian. Mana boleh begitu.

“Apa yang dapat saya katakan ialah rasa bersyukur kerana peluang menimba ilmu dan pengalaman dari Mentor saya, Datuk Sharifah Aini.

“Inilah kesempatan bagi saya agar boleh melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” kata anak bungsu daripada tiga beradik ini.

Oleh Zaini Zaa/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com
Iklan