DR Ezani Juara Masterchef Sedia Dilamar


Kuala Lumpur, Malaysia – Berita21.Com: Lazimnya pemenang sesuatu pertandingan merasa gembira dan teruja, namun Dr Ezani Farhana Md Monoto masih dibelenggu rasa serba salah dan kekok sejak memenangi juara Masterchef tiga bulan lalu.

“Saya bukan seorang chef professional, tetapi sekadar meminati bidang masakan,” katanya yang mengakui memenangi pertandingan itu secara kebetulan.

Dia mengaku masih serba salah dan kekok kerana belum sampai tahap yang melayakkannya dipanggil chef.

“Saya belajar di bidang perubatan tapi akan melalui kerjaya sebagai chef,” katanya ketika ditemui majlis penyampaian cek kemenangannya bernilai RM100,000 di sebuah restoran di ibu kota, baru-baru ini.

Walaupun berjaya menamatkan pengajian perubatan dalam bidang pergigian di Australia, namun Dr Ezani terpaksa menunggu tiga tahun lagi sebelum boleh memulakan tugasnya sebagai doktor gigi.

Kemenangannya sebagai juara Masterchef Malaysia musim pertama memaksa graduan Universiti Adelaide ini memberi fokus terhadap dunia baru yang diceburinya.

Sebagai pemenang, Dr Ezani tertakluk pada kontrak dengan Astro selama tiga tahun selaku penganjur pertandingan itu.

“Buat masa ini saya mahu beri lebih fokus dengan karier baru sebagai chef,” ujarnya yang bakal menyambut ulang tahun ke-26 pada 11 Mei ini.

Ditanya mengenai jodoh, Dr Ezana berkata dia serahkan pada Allah walaupun belum memikirkannya.

“Saya tak menafikan jodoh itu di tangan Tuhan. Biarlah Allah tentukan bila jodoh saya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Namun, katanya, kalau ada yang melamar dia sedia memikirkannya.

“Lagipu usia saya akan mencecah 26 tahun,” tambahnya.

Ibunya, Puan Bidah A Hamid, 60, yang menemani Dr Ezani ketika itu berkata dia tidak kisah siapa pilihan anaknya.

“Soal jodoh Ezani di tangan Tuhan. Makcik tak kisah bila Ezani nak mendirikan rumah tangga. Keluarga kami menerima calon itu seadanya.

“Tak semestinya bakal calon menantu makcik seorang yang pandai memasak. Apa yang penting, dia mestilah serasi dan bertanggung jawab,” kata Puan Bidah.

Menyentuh jolokan chef selebriti yang diberikan peminat program realiti masakan, Dr Ezani mengakui gelaran itu membawa dia merasai pengalaman hidup yang amat berbeza.

“Saya berasa seronok apabila ramai orang tegur dan mengenali saya.

“Saya sedar bidang hiburan penuh cabaran, tetapi ia memberikan pengalaman baru yang berbeza.

“Saya mahu terokai lebih banyak ilmu dalam bidang ini,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Ditanya perancangannya dengan wang kemenangan RM100,000 itu, Dr Ezani berkata, dia akan menyimpan wang itu untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Kalau diizinkan, saya juga menyimpan angan-angan untuk membuka sebuah kafe yang menghidangkan makanan pencuci mulut seperti pastri dan kek,” katanya yang merancang untuk menerbitkan buku resipi sendiri kelak.

Dia juga bakal mengacarakan sebuah program bercorak kembara masakan tidak lama lagi.

Zaini Zaa /Foto: Suhaizul/Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com