Finaz 3 Kali Hijrah Stasiun TV


Kuala Lumpur, Malaysia – Berita21.Com: Bagi penonton setia stesen TV berkonsepkan Islam, TV Alhijrah, pastinya mengenali wajah wanita manis ini.

Personaliti TV, Syafinaz Yunus atau lebih mesra dengan panggilan Finaz, kini antara pembaca berita yang diminati ramai.

Anak kelahiran Jasin, Melaka ini mengakui hajatnya tercapai dan bersyukur dapat berada dalam dunia penyiaran.

Peliknya, ketika berada di bangku sekolah dulu Finaz bercita-cita mahu menjadi peguam.

“Semasa kecil, saya bercita-cita menjadi peguam namun ibu saudara menyedari saya mempunyai bakat di depan kamera

“Dia kemudian cadangkan saya sambung pelajaran di Akademi TV3 dalam pengkhususan bidang penyiaran,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Kini dalam diam tak diam usia Safinaz dalam bidang ini sudah mencecah enam tahun. Agak menarik, sebelum bertugas di TV Alhijrah, Safinaz sebenarnya sudah melakukan tiga kali penghijrahan.

Selepas memperolehi Diploma Penyiaran Akademi TV3 dari MIM, Safinaz menjalani latihan pratikal di RTM dan kemudiannya bermulakan hijrahnya yang pertama bertugas sebagai wartawan penyiaran di stesen ntv7.

Selepas enam bulan, personaliti yang memiliki ketinggian 163 sentimeter ini berhijrah pula ke stesen TV9 sebelum berhijrah ke TV Alhijrah sehingga sekarang.

“Cinta mendalam pada bidang penyiaran membuatkan saya tidak boleh lari dari lapangan lain.

“Bukan kerana glamor, tetapi bidang ini memberi peluang saya mencurahkan idea apabila penerbit meminta laporan eksklusif bagi kes-kes tertentu.

“Saya juga rasa teruja untuk membuat liputan berita termasuk mengenai politik dan ehwal semasa.

“Ukhwah setiap pengacara AlHijrah seperti adik-beradik dan kami saling melengkapi antara satu sama lain.

“Ikatan ini juga menyatukan hati kami demi pembangunan umat sejagat,” kata wanita terawal yang menyertai halaqah AlHijrah.

Bukan kacang lupakan kulit, sebaliknya Finaz yang sudah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Muhammad Salehuddin Mohd Nor, menganggap penghijrahannya itu sebagai anjakan baru dalam kerjayanya.

“Menjadi sebahagian tenaga kerja di stesen televisyen baru bukan perkara mudah, namun saya berbangga kerana diberi peluang menjadi perintis.

“Malah, pengalaman yang diperoleh sebelum ini memberi banyak kelebihan kepada saya untuk membantu operasi TV Alhijrah” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Zaini Zaa /Warta Perdana/Hatta Sanie/B21.Com